am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini mendapati Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH) dipercayai masih mengamalkan Aurad Muhammadiyah yang diharamkan pada 1994.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini berikutan hasil penemuan buku-buku dan risalah berkaitan tarekat itu melalui serbuan dijalankan di premis GISBH dalam operasi fasa keempat, 20 September lalu.
Menurutnya, pihaknya percaya, daripada risikan dan keterangan yang diperoleh, GISBH ini masih mengamalkan tarikat Aurad Muhammadiyah kerana ada buku Abuya dan zikir.
“Terdapat barangan disyaki bertentangan Islam dan berkaitan Aurad Muhammadiyah yang mana tarikat ini dimulakan Al-Arqam yang difatwakan sesat pada 1994.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut berkaitan perkara ini kerana di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI),” katanya pada sidang media di Pulapol, hari ini.
Sementara itu, Razarudin berkata, polis juga akan meneruskan siasatan terhadap GISBH secara berfasa dengan berhat-hati mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.
“Siasatan kes itu dijalankan secara berhati-hati bagi memastikan tindakan ke atas GISBH dijalankan dengan telus dan menyeluruh.
“Ada dua tiga perkara perlu dijelaskan berkaitan kes ini dan bagi pihak PDRM. Kita akan menyiasat bawah undang-undang yang ada di dalam Malaysia untuk kesalahan seperti Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, Akta Antipemerdagangan Orang dan akta-akta lain,” katanya.
Kontroversi GISBH: Semakin ramai individu tampil dedah pengalaman di media sosial
© New Straits Times Press (M) Bhd




