PELUANG menjayakan persembahan pembukaan bagi showcase Janji with Dayang yang berlangsung di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur baru-baru ini, adalah pengalaman paling berharga buat Anwar Amzah.
Penyanyi, pemuzik dan pempengaruh berusia 27 tahun itu menganggap ia antara momen indah dalam hidupnya.
Justeru, Anwar yang terkenal sebagai ‘gitaris fingerstyle’ turut menyimpan impian untuk terus melebarkan sayap dalam dunia seni.
Dia menaruh harapan untuk berduet dengan penyanyi tersohor tanah air itu pada masa akan datang.
“Dayang adalah idola ramai penyanyi baharu termasuk saya. Kalau diberi peluang berduet dengannya, rasanya saya individu paling bertuah. Suara dan aura Dayang berada di kelas tersendiri dan saya yakin banyak yang boleh saya pelajari daripadanya.
“Saya kagum dengan reputasi dan perkembangan kerjaya Dayang sepanjang dalam industri seni. Dia sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar tidak menyangka diberi kesempatan untuk bekerjasama dengan ramai penyanyi hebat apabila bertindak sebagai pengiring gitar untuk persembahan mereka.
Antara artis tanah air yang pernah bergandingan dengannya ialah Nadeera, Ernie Zakri, Hael Husaini dan Dolla, selain turut beraksi bersama nama besar dari Indonesia seperti Raisa, Datuk Seri Rossa, Bernadya dan Fabio Asher.
“Saya masih baharu, jadi peluang sebegini sangat saya hargai. Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berkarya. Setiap kali mengiringi persembahan artis, saya dapat belajar cara mereka mengawal pentas dan berinteraksi dengan penonton.
“Pengalaman ini bukan sekadar bermain muzik, tetapi satu proses pembelajaran yang membuka mata saya tentang standard sebenar dalam industri hiburan. Setiap penyanyi ada keunikan tersendiri dan itu mengajar saya untuk mencari identiti saya sendiri.
“Saya rasa sangat bertuah kerana tidak semua penyanyi baharu mendapat ruang seperti ini. Ia jadi pemangkin untuk saya melangkah lebih jauh,” kata Anwar yang berasal daripada Kluang, Johor.
Dalam perkembangan lain, Anwar meluahkan rasa syukur apabila single pertamanya berjudul Imaginasi menerima sambutan positif daripada peminat.
“Syukur Alhamdulillah, Imaginasi dapat respons baik sejak dilancarkan. Lagu ini dekat dengan jiwa saya kerana ia menceritakan tentang keberanian untuk bermimpi dan mengejar cita-cita tanpa rasa takut.
“Saya sangat terharu apabila ramai pendengar yang menghantar mesej peribadi mengatakan lirik lagu ini memberi semangat kepada mereka. Itu antara perkara yang membuatkan saya yakin berada di landasan yang betul.
“Saya akan terus berusaha menghasilkan karya yang bukan sahaja sedap didengar, tetapi memberi makna kepada pendengar,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




