'Usaha dan stamina kena dua kali ganda'

'Usaha dan stamina kena dua kali ganda'

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kumpulan nasyid Inteam memaklumkan, idea untuk mengadakan konsert di Axiata Arena Bukit Jalil mula tercetus apabila melihat sambutan hebat peminat terhadap penganjuran Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam di Idea Live Arena, Damansara Intan, Petaling Jaya pada 28 September lalu.

Inteam dianggotai Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad bagaimanapun tidak mempunyai modal besar dan hanya memilih lokasi terbabit ketika itu.

“Ketika itu kami buat jualan tiket ‘battle pertama’ (sesi pertama) hanya untuk 1,100 penonton, tapi yang masuk ‘online’ ada 80,000 ‘single user’ yang nak masuk.

“Jadi, kita buat keputusan untuk beralih ke satu lokasi yang lebih besar, tapi dengan tempat duduk hanya 4,500. Bila kita buka ‘battle’ yang kedua itu dah ada idea untuk Axiata dah sebenarnya.

“Justeru, 150,000 orang masuk ‘battle kedua’. Jadi ramai yang cadangkan Axiata, tapi konsert ini kami anjurkan sendiri, kita tak ada kemampuan dari segi modal, kekuatan tenaga kerja. Jadi kita terpaksa tangguh dulu Axiata, dan kita buat di Idea Live Arena,” kata Hazamin.

Tambahnya, hasrat mereka akhirnya kesampaian apabila Icon Entertainment menawarkan peluang untuk beraksi di Axiata Arena Bukit Jalil menerusi penganjuran Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih pada 1 Februari depan.

“Bila Icon datang, kita rasa Icon dah berpengalaman dengan Axiata Arena dalam pelbagai aspek. Jadi, kita pun terima lamaran itu. Persiapan memang akan berbezalah.

“Sebelum ini kami dah ambil guru vokal, kita ada ada kelas senaman untuk stamina, tapi kali ini memang kita kena dua usaha kali ganda benda itu. Inteam pun pernah ada pengalaman beraksi di situ.

“Jadi, kita dapat rasa ‘vibenya’ dan insya-Allah kita boleh buat persembahan terbaik di sana,” katanya pada sidang media konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih baru-baru ini.

Menurut Hazamin, mereka tidak terbeban lagi dengan perkara lain dan hanya akan fokus pada persembahan sahaja nanti.

“?Dulu kan kita jadi penganjur. Kita pening bab teknikal, bab ticketing. Jadi kali ini kita fokus ‘on stage’ saja.

“Icon Entertainment tahu menilai seseorang ataupun menilai artis itu dan menghargai artis itu sendiri.

“Apa yang ditawarkan pada kami, kami tidak memandang dari segi bayaran sangat. Cuma apa yang kami pandang ialah tanggungjawab kami sebagai penganjur, kami dapat serahkan kepada seseorang yang yang mampu untuk untuk lakukan,” katanya.

Inteam mengakui memang berhasrat mahu beraksi di Axiata Arena sebelum ini, tetapi kekangan pelbagai perkara membataskan perkara itu.

“Cuma, sebelum ini kita bayangkan kita lakukan sendiri, laksanakan sendiri, organize sendiri. Jadi kita rasa macam tak mampu capai harapan orang.

“Bila Iman Tang (pengasas Icon Entertainment) datang, kita rasa dia adalah orang yang pakar dalam bidang penganjuran di Axiata Arena khususnya

“Dia pun tahu menilai apa keuntungan ataupun kerugian yang terpaksa kami lepaskan jika kami tidak menjadi penganjur. Jadi kita rasa itu adalah situasi menang-menang yang kita rasa sangat-sangat berbaloi,” kata Hisyam.

Inteam mengelak apabila ditanya berkenaan tawaran harga lumayan menjadi faktor kerjasama ini terjalin.

“Nak kata tinggi sebenarnya berbaloi. Ayat dia berbaloi,” ujarnya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top