Gol Ceballos, Diaz pastikan Madrid kalahkan Chelsea

Gol Ceballos, Diaz pastikan Madrid kalahkan Chelsea

Carolina Utara, Amerika Syarikat: Real Madrid menamatkan jelajah pramusim di Amerika Syarikat (AS) dengan kemenangan 2-1 ke atas Chelsea pada perlawanan persahabatan di Stadium Bank of America di Charlotte, Carolina Utara, awal pagi tadi.

Bintang baharu, Kylian Mbappe dan pemain cemerlang musim lalu, Jude Bellingham tidak menyertai skuad Madrid pada jelajah kali ini berikutan mereka terbabit dengan skuad kebangsaan masing-masing di Kejuaraan Eropah (Euro) 2024 di Jerman pada musim panas ini.

Di sebalik ketiadaan dua nama besar itu, juara bertahan LaLiga itu menurunkan ramai pemain bintang lain di padang dan mereka berada di depan pada minit ke-20 apabila Lucas Vazquez menolak bola ke dalam gawang susulan situasi kelam kabut di depan gawang Chelsea.

Madrid menjadikan kedudukan 2-0 apabila Brahim Diaz mengejar bola umpanan Vinicius Junior sebelum melepasi penjaga gol Chelsea, Filip Jorgensen dan menolak bola ke dalam gawang dari sudut sukar pada minit ke-27.

Chelsea yang jarang memasuki kawasan Madrid merapatkan jurang pada minit ke-39 apabila Noni Madueke melonjak tinggi untuk menanduk masuk umpanan Enzo Fernandez.

Walaupun kedua-dua pasukan terus menggandakan asakan, tiada tambahan jaringan dihasilkan pada babak kedua.

Madrid yang dibimbing Carlo Ancelotti akan memulakan musim 2024-25 dengan menentang Atalanta pada aksi Piala Super UEFA pada 14 Ogos, iaitu perlawanan antara juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan juara Liga Europa.

Chelsea akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan pada 11 Ogos sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan melayan kunjungan Manchester City pada 18 Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top