
Boualem Khoukhi (kanan) meledak gol penyamaan Qatar pada minit ke-90 4 sekali gus memastikan pasukannya meraih satu mata penting di Piala Dunia. FOTO: Agensi
QATAR akhirnya mencipta sejarah apabila meraih mata pertama mereka di pentas Piala Dunia selepas mengikat Switzerland 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di San Francisco Bay Area Stadium, Santa Clara pada awal pagi Ahad.
The Maroons yang gagal mengutip sebarang mata ketika menjadi tuan rumah edisi 2022, memecahkan kebuntuan itu menerusi jaringan dramatik kapten pasukan, Boualem Khoukhi pada minit ke-90+4.
Switzerland terlebih dahulu berada di hadapan menerusi sepakan penalti Breel Embolo pada minit ke-17 selepas pengadil menghadiahkan penalti susulan kekasaran penjaga gol Qatar, Mahmud Abunada terhadap Remo Freuler di dalam kotak penalti.
Sepanjang perlawanan, Switzerland menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta lebih banyak peluang untuk menambah jaringan.
Namun ketumpulan penyudah serta aksi cemerlang Abunada memastikan Qatar terus berada dalam saingan.
Antara peluang terbaik Switzerland hadir menerusi Dan Ndoye, Denis Zakaria dan Embolo, namun semuanya gagal diterjemahkan kepada gol kedua yang amat diperlukan.
Qatar yang banyak bergantung kepada serangan balas pula hampir menyamakan kedudukan menerusi Edmilson Junior tetapi percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol Switzerland, Gregor Kobel.
Ketika Switzerland dilihat semakin hampir untuk membawa pulang tiga mata, Qatar mengejutkan lawan pada saat-saat akhir.
Pada minit ke-90+4, Homam Ahmed Elamin melakukan hantaran lintang tepat dari sebelah kiri sebelum Khoukhi menewaskan Miro Muheim dalam perebutan udara dan menanduk masuk bola ke penjuru gawang Switzerland.
Jaringan itu bukan sahaja menyelamatkan Qatar daripada kekalahan, malah mencatat sejarah sebagai gol yang menghadiahkan mata pertama negara Teluk itu dalam saingan Piala Dunia.
Keputusan tersebut turut menjadikan saingan Kumpulan B terbuka luas selepas perlawanan antara Bosnia and Herzegovina dan Kanada sebelum itu turut berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Selepas satu perlawanan, kesemua empat pasukan dalam Kumpulan B berkongsi satu mata dengan perbezaan gol yang sama.



