London: Antoine Semenyo menghasilkan antara jaringan terbaik final Piala FA apabila gol tunggalnya itu memastikan Manchester City menewaskan Chelsea 1-0 di Wembley, hari ini.
Semenyo menyerlah dalam final yang berlangsung agak hambar apabila bijak menyudahkan hantaran lintang Erling Haaland menerusi sentuhan tumit yang cukup bergaya pada lewat babak kedua.
Detik magis pemain sayap Ghana itu menghadiahkan City kejuaraan Piala FA kelapan selain trofi kedua musim ini selepas menjuarai Piala Liga dengan menewaskan Arsenal pada Mac lalu.
Jaringan Semenyo itu kini dianggap setaraf dengan gol ikonik final Piala FA yang pernah dihasilkan legenda seperti Ricky Villa, Michael Owen, Roberto Di Matteo dan Steven Gerrard.
Menariknya, pemain berusia 26 tahun itu yang dibeli dari AFC Bournemouth pada jendela perpindahan Januari lalu sebenarnya dilahirkan berhampiran stadium Stamford Bridge milik Chelsea di barat London.
Kejayaan itu juga menamatkan dua kekalahan berturut-turut City di final Piala FA kepada Crystal Palace dan Manchester United.
Pengurus City, Pep Guardiola yang turut menjulang trofi itu pada 2019 dan 2023 kini sudah memenangi 20 trofi sepanjang sedekad mengendalikan kelab berkenaan.
Guardiola bagaimanapun masih memasang impian memburu trofi ke-21 menerusi persaingan sengit kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
City yang kini mencatat 21 perlawanan domestik tanpa kalah akan ketinggalan lima mata di belakang Arsenal sekiranya The Gunners menewaskan Burnley FC, awal pagi Selasa ini.
Namun, City boleh kembali merapatkan jurang kepada dua mata jika menewaskan Bournemouth dalam aksi kedua terakhir liga, awal pagi Rabu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




