
LONDON: Jaringan awal Raheem Sterling membantu England menewaskan Republic Czech 1-0 di Wembley sekali gus menguasai carta liga Kumpulan D Euro 2020.
Gol tandukan seawal minit ke-12 itu turut menandakan England bakal kembali ke Wembley pada pusingan kalah mati minggu depan menentang pasukan tempat kedua Kumpulan F yang akan ditentukan hari ini.
Pengendali England, Gareth Southgate melakukan empat perubahan dalam pasukan yang dikritik hebat selepas sekadar mencatatkan keputusan 0-0 ke atas Scotland, menurunkan Jack Grealish dan Bukayo Sako buat kali pertama dalam pertandingan itu.
Pemain tengah Chelsea, Mason Mount tidak dapat diturunkan kerana menjalani proses kuarantin mengikut syarat protokol Covid-19 dengan Southgate memilih untuk merehatkan Phil Foden bagi mengelakkan risiko penggantungan.
Pertahanan Manchester United, Harry Maguire turut membuat penampilan pertama di Euro Euro 2020 bersama-sama John Stones di pertahanan tengah.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, Luka Modric membantu Croatia mencipta kemenangan 3-1, sekali gus membawa naib juara Piala Dunia itu ke pusingan 16 terakhir Euro 2020.
Nikola Vlasic meledak gol pembukaan Croatia pada minit ke-17, sebelum Callum McGregor menyamakan kedudukan buat Scotland.
Modric bagaimanapun, meletakkan Croatia kembali di hadapan apabila meledak jaringan pada minit ke-62 dan beliau turut membantu Ivan Perisic melengkapkan kemenangan pasukannya.
Croatia mara selaku naib juara Kumpulan D di belakang England dan walaupun tewas, Czech bagaimanapun turut melangkah ke peringkat kalah mati sebagai satu daripada pasukan tempat ketiga terbaik.




