PETALING JAYA: Golongan muda tidak perlu menunggu sehingga diberikan jawatan atau mencapai usia tertentu untuk menjadi pemimpin, sebaliknya boleh memulakan tanggungjawab itu melalui sumbangan kepada masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ramai anak muda sebenarnya sudah memainkan peranan sebagai pemimpin dengan mewakili rakan pelajar, menggerakkan aktiviti sukarelawan, membangunkan perniagaan dan menjalankan penyelidikan meskipun perlu mengimbangi tuntutan pengajian, pekerjaan serta keluarga.
Justeru katanya, golongan muda perlu menjadikan nilai, visi dan tanggungjawab sebagai asas kepimpinan bagi memastikan setiap keputusan serta tindakan yang diambil mempunyai tujuan dan memberi manfaat kepada orang lain.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Sesuatu jawatan memberikan anda kedudukan tetapi tindakan andalah yang memberikan makna kepada kedudukan tersebut. Orang ramai mungkin mengikut anda kerana kuasa yang dimiliki, namun mereka akan mempercayai anda kerana keperibadian dan akhlak yang ditonjolkan.
“Pada 1957, ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Tun Abdul Razak baru berusia 35 tahun dan sudah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran. Beliau bukan sekadar mempersiapkan diri untuk memimpin tetapi turut membantu membangunkan negara dan sistem pendidikan yang membentuk generasi rakyat Malaysia.
“Menguruskan belanjawan menguji kejujuran, memilih anggota pasukan menguji keadilan dan berdepan perbezaan pendapat menguji kesediaan untuk mendengar. Kepekaan terhadap pelajar yang suaranya tidak didengari pula menguji sifat belas ihsan,” katanya ketika berucap pada program iFUTURE 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, golongan muda kini berdepan cabaran besar susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang mengubah cara pembelajaran dan pekerjaan, selain peningkatan kos sara hidup, persaingan mendapatkan pekerjaan serta perubahan iklim.
Katanya, kemudahan mengakses maklumat dan menggunakan teknologi untuk menghasilkan kandungan dengan pantas perlu disertai pertimbangan berasaskan nilai kerana tidak semua perkara yang mampu dilakukan melalui teknologi semestinya wajar dilaksanakan.
“Jika sesuatu algoritma memberikan jawapan, nilailah jawapan tersebut secara kritis. Jika sesuatu platform memberikan anda pengaruh, fikirkan kesan kata-kata anda terhadap orang lain.
“Inovasi tidak sepatutnya diusahakan semata-mata kerana sesuatu perkara itu baharu. Sama ada anda sedang membangunkan aplikasi AI, menghasilkan penemuan penyelidikan, membina perniagaan atau mencipta karya kreatif, tanyalah siapakah yang akan mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Menurut Fadillah, pendidikan dan penguasaan kemahiran termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut memainkan peranan dalam pembangunan negara kerana kemajuan masa hadapan tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi.
“Sesebuah negara memerlukan golongan yang mempunyai impian besar untuk menghasilkan idea. Pada masa sama, negara juga memerlukan individu yang mampu membina, mengendalikan, menyelenggara dan menambah baik sesuatu hasil ciptaan. Kedua-dua golongan ini wajar diberikan penghormatan yang sama.
“Kejayaan anda hanya benar-benar bermakna sekiranya kejayaan itu turut membuka peluang kepada orang lain. Anda mungkin boleh menjadi pembimbing kepada pelajar yang lebih muda, mewujudkan peluang pekerjaan pertama untuk seseorang atau menyelesaikan masalah yang telah sekian lama diabaikan,” katanya. – UTUSAN




