Kerajaan disaran menubuhkan sebuah badan pemantau khas bagi memastikan peruntukan pembangunan yang disalurkan kepada setiap kementerian menerusi Belanjawan 2027 diuruskan secara cekap, telus dan mengikut perancangan.
Foto: Malaysiakini
Memetik laporan Free Malaysia Today, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, mekanisme pemantauan itu penting bagi mengelakkan masalah perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan atau kegagalan menggunakan dana yang telah disediakan.
Menurut bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu, kedua-dua keadaan berkenaan perlu diberi perhatian kerana boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan dan penyampaian kemudahan kepada rakyat.
Beliau turut merujuk isu perbelanjaan pembangunan luar bandar yang sebelum ini dibangkitkan susulan pendedahan Perbendaharaan berhubung perbezaan antara peruntukan diluluskan dengan perbelanjaan sebenar bagi projek jalan luar bandar.
Dalam masa sama, Puad berkongsi pengalamannya ketika berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dari 2009 hingga 2013 apabila mendapati terdapat sejumlah besar peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) yang tidak digunakan sehingga terpaksa dipulangkan kepada Perbendaharaan.
Situasi itu, katanya, menimbulkan persoalan memandangkan beliau sering menerima aduan mengenai kekurangan dana untuk menaik taraf sekolah daif, khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Dulu saya sering melawat sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak. Tapi dukacita kerana sering dimaklumkan bajet tidak mencukupi untuk naik taraf sekolah sekolah daif. Tiba tiba ada pula duit dipulangkan kerana tidak dibelanjakan.
“Apa sebenarnya berlaku. Birokrasi? Sistem maklumat tidak tepat? Little Napoleon dalam kementerian? Tidak peka? Malas? Ini antara isu yang perlu ditangani dalam Bajet 2027,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Foto: Astro Awani
Sehubungan itu, beliau berpandangan pemantauan lebih menyeluruh diperlukan bagi mengenal pasti kelemahan dalam pengurusan peruntukan, termasuk kemungkinan wujudnya masalah birokrasi atau ketidakcekapan sistem penyampaian.
Terdahulu, Perbendaharaan dilaporkan mendedahkan perbelanjaan bagi projek jalan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan dalam tempoh tiga tahun.
Berdasarkan angka yang didedahkan, perbelanjaan direkodkan sebanyak RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion, diikuti RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion serta RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
Perbezaan terkumpul antara peruntukan tahunan dengan perbelanjaan sebenar bagi tempoh tersebut berjumlah RM2.1 bilion.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan kemudiannya memaklumkan bahawa perkara berkenaan telah diselesaikan.
Cadangan Puad itu memberi penekanan kepada keperluan memperkukuh pemantauan perbelanjaan pembangunan supaya dana yang diperuntukkan dapat dimanfaatkan secara optimum, selain mengelakkan lebihan perbelanjaan atau baki dana yang tidak digunakan pada penghujung tahun.
Sumber: Free Malaysia Today




