GP Australia dibatalkan akibat cuaca buruk

GP Australia dibatalkan akibat cuaca buruk

Phillip Island: Marc Marquez tidak berpeluang melebarkan jurang mata dalam kejuaraan dunia ke atas Jorge Martin yang mengalami kecederaan selepas perlumbaan MotoGP Australia terakhir di Phillip Island dibatalkan hari ini berikutan keadaan litar yang berbahaya.

Penganjur membatalkan perlumbaan itu meskipun tiket habis dijual selepas hujan berterusan dan jarak penglihatan yang terhad menyebabkan perlumbaan tidak selamat untuk diteruskan. Perlumbaan Moto3 dan Moto2 turut dibatalkan.

“Jarak penglihatan yang terhad menyebabkan perlumbaan MotoGP Australia dibatalkan,” kata pihak penganjur.

Ia menjadi penamat yang mengecewakan kepada hampir tiga dekad penganjuran perlumbaan di litar tepi pantai yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Melbourne itu, dengan perlumbaan di Australia akan berpindah ke litar jalan raya di pusat bandar Adelaide tahun depan.

Jika pembatalan itu mengecewakan Marquez daripada pasukan Ducati, situasi berkenaan pula melegakan pelumba Aprilia, Martin, yang disahkan tidak dapat beraksi selepas mengalami keretakan tulang lengan bawah ketika terjatuh dalam perlumbaan pecut, semalam yang dimenangi rakan senegaranya, Marquez.

Martin berisiko ketinggalan lebih jauh di belakang juara dunia tujuh kali, Marquez, dengan hanya empat pusingan perlumbaan berbaki musim ini, bermula di Malaysia minggu depan.

Sebaliknya, Martin akan meninggalkan Australia dengan hanya ketinggalan 10 mata di belakang Marquez.

Marco Bezzecchi daripada pasukan Aprilia berada di tempat ketiga dalam kedudukan kejuaraan, 50 mata di belakang Marquez.

Sama ada Martin mampu beraksi di Sepang masih belum dapat dipastikan.

Pasukannya dalam satu kenyataan memaklumkan kecederaan itu tidak seteruk yang disangka pada awalnya dan dia tidak perlu pulang ke Sepanyol untuk menjalani pembedahan.

“Satu-satunya kecederaan yang disahkan ialah keretakan tanpa anjakan pada bahagian hujung tulang radius,” kata Aprilia, yang bermaksud tulang berkenaan masih berada dalam kedudukan asal.

“Oleh itu, pelumba berkenaan tidak akan pulang ke Sepanyol dan akan menjalani rawatan yang diperlukan dalam beberapa hari akan datang,” kata pasukan itu lagi.

Litar Phillip Island yang indah dan sering dilanda angin kencang itu menjadi sebahagian daripada kalendar perlumbaan sejak 1997.

Bagaimanapun, kontrak penganjuran perlumbaan di litar itu akan tamat tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top