Pemaju digesa utamakan rumah tiga bilik berbanding unit studio – Pakar

Pemaju digesa utamakan rumah tiga bilik berbanding unit studio – Pakar

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pembinaan unit kediaman di ibu kota hendaklah diselaraskan mengikut demografi dan keperluan sebenar warga kota berpandukan laporan perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan purata saiz isi rumah terkini menurun kepada 3.6 orang.

Pakar senibina dan pembangunan bandar, Mustapha Kamal Zulkarnain berkata, pemaju swasta tidak sewenang-wenangnya membina unit kediaman studio tanpa bilik atau satu bilik berteraskan spekulasi keuntungan semata-mata.

​Beliau berkata, trend demografi purata isi rumah 3.6 orang itu membuktikan keperluan mendesak terhadap kediaman tiga bilik yang mesra keluarga serta benar-benar mampu milik bagi golongan pertengahan dan B40 di Kuala Lumpur.

​Mustapha yang juga wakil Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) yang juga seorang daripada 45 pakar subjek (subject matter experts) yang menerima watikah pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur menegaskan, data purata isi rumah DOSM terkini perlu dijadikan sandaran utama dalam membuat kaji selidik populasi bagi sebarang kelulusan projek di bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040.

​”Apabila pemaju mengemukakan permohonan pembangunan berkepadatan tinggi contohnya cadangan membina 17,000 unit di atas tapak seluas 26.3 hektar pengiraan populasi bandar mesti dibuat secara tepat berlandaskan purata isi rumah ini.

​”Penduduk berhak mempersoalkan kapasiti sebenar bandar raya dan meminta penjelasan mengenai permohonan pembangunan membabitkan kawasan berkepadatan tinggi yang disasarkan oleh pihak pemaju,” katanya ketika mengulas mengenai bantahan gabungan penduduk terhadap pembinaan 17,000 unit kediaman Bandar Madani di Bukit Jalil, hari ini.

Untuk rekod, PTKL 2040 dikuatkuasakan pada 11 Jun 2025 lalu dan sudah berkuat kuasa bagi tempoh 16 bulan, di mana tempoh pendedahan awal selama sembilan bulan sebelum ini sudah merekodkan lebih 20,000 bantahan rasmi daripada penduduk, sektor korporat, dan pemilik tanah.

​Beliau turut menekankan bahawa terdapat implikasi terhadap dasar baru pelan pembangunan apabila perubahan dasar kawalan pembangunan daripada nisbah unit seekar (units per acre) kepada nisbah plot (plot ratio) termasuk dalam isu perumahan mampu milik.

Beliau berkata, median harga rumah di Kuala Lumpur kini berada pada paras RM700,000 bagi saiz 1,000 kaki persegi mengikut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

Dalam situasi harga yang sebegitu sukar, pemaju swasta tidak boleh dibiarkan membina unit studio tanpa bilik daripada 17,000 unit yang dirancang semata-mata mengikut julat spekulasi pasaran pertengahan.

Mustapha Kamal berkata, jika pembinaan kediaman berkepadatan tinggi dibiarkan tanpa kawalan, pertambahan puluhan ribu unit rumah baharu dijangka mencetuskan kesesakan trafik teruk dengan limpahan anggaran 34,000 kenderaan seawal jam 6.30 pagi.

Bagi mengatasi kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan teksi atau e-hailing, beliau mengesyorkan Kuala Lumpur mengambil pendekatan pembangunan mesra pejalan kaki seperti di Hong Kong.

​Sehubungan itu, PTKL 2040 dituntut mewajibkan audit kapasiti struktur dan menyediakan jaringan pejalan kaki berbumbung bertingkat yang terurus, kedap cuaca, serta kalis tempias hujan yang dihubungkan terus dari bangunan kediaman dan korporat ke stesen LRT serta MRT.

​Dalam mewujudkan persekitaran bandar raya Madani yang lestari, perunding daya huni bandar itu juga mengemukakan beberapa cadangan termasuk peruntukan 10 peratus kawasan lapang secara tersebar (pocket parks) untuk memberi akses empat kali lebih saksama kepada masyarakat, sekali gus menyokong sasaran modal syer 70 peratus pengangkutan awam dan pejalan kaki menjelang 2040.

​Beliau turut mencadangkan pelaksanaan konsep sekolah vertikal seperti di Taiwan bagi mengatasi masalah kekurangan tanah dengan fasiliti sukan yang boleh dikongsi bersama komuniti setempat, serta Penilaian Impak Trafik (PIA) Bersepadu di peringkat perancangan bandar dan bukannya sekadar menilai persimpangan jalan secara terasing.

​Beliau menegaskan PTKL 2040 wajar dikaji semula bagi memastikan kepatuhan proses, menjaga keharmonian kawasan sedia ada, serta dilaksanakan menerusi dialog awam yang telus bersama penduduk ibu kota.

Sebelum ini media melaporkan bantahan penduduk Bukit Jalil terhadap pembinaan 17,000 unit kediaman Bandar Madani.

Malah Ahli Parlimen Teresa Kok juga mahu kerajaan menangguhkan dahulu projek itu sebelum laporan rasmi PTKL 2040 dikeluarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top