suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Masa depan pendidikan Melayu di Pulau Pinang akan dibincangkan secara menyeluruh dalam Kolokium Pendidikan Melayu Pulau Pinang 2025 Sabtu ini.
Ia dijangka disertai lebih 200 peserta terdiri daripada pelajar tingkatan enam, mahasiswa, pemimpin badan bukan kerajaan, tokoh akademik serta wakil agensi kerajaan.
Bertemakan Pendidikan Meninggikan Kemuliaan Bangsa Melayu, program anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) itu menjadi wadah penting membincangkan isu, cabaran dan hala tuju pendidikan Melayu di negeri ini secara menyeluruh dan strategik.
Pengerusi GPMS negeri, Muhammad Danial Alimin,berkata kolokium itu antara lain bertujuan memperkukuh jati diri serta memperkasa pendidikan bangsa Melayu agar terus relevan dalam arus globalisasi.
“Objektif utama penganjuran ini adalah untuk membincangkan cabaran dan peluang pembangunan pendidikan Melayu di Pulau Pinang, menjalin kerjasama strategik antara institusi akademik, agensi kerajaan, NGO dan komuniti dan mengangkat keberdayaan komuniti Melayu melalui pendidikan sebagai pemangkin kepada kemajuan identiti, ekonomi dan sosial masyarakat, ” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Danial berkata, antara pengisian utama kolokium ini termasuk forum Perdana Pendidikan: “Hala Tuju Pendidikan Melayu Pulau Pinang yang menampilkan Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar (USM) Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk, selain perbincangan meja bulat dan pembentangan resolusi cadangan pelan strategik Gagasan Pendidikan Melayu Pulau Pinang 2030.
“Kita berpandangan penganjuran ini adalah manifestasi kesungguhan GPMS memperjuangkan masa depan pendidikan bangsa Melayu melalui pendekatan ilmiah dan strategik.
“Pendidikan dilihat sebagai medan utama membina kekuatan bangsa, justeru, kolokium ini menghimpunkan pemikir, pelaksana dasar dan anak muda bagi membentuk solusi baharu terhadap cabaran pendidikan Melayu di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, GPMS Pulau Pinang yakin bahawa kolokium ini akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan memperkukuh jati diri, bahasa dan budaya bangsa Melayu melalui sistem pendidikan yang progresif serta berpaksikan nilai-nilai Malaysia MADANI.
© New Straits Times Press (M) Bhd




