London: Tottenham Hotspur meraih tiga mata yang amat diperlukan oleh pengendalinya, Thomas Frank, selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Crystal Palace, awal pagi tadi.
Archie Gray muncul sebagai wira Spurs di Selhurst Park apabila meledak gol sulung di peringkat senior, sekali gus menghadiahkan kemenangan kedua buat anak buah Frank dalam sembilan perlawanan liga.
Richarlison sebelum itu menyaksikan dua jaringannya dibatalkan kerana ofsaid, namun tandukan Gray sudah memadai untuk memastikan kemenangan ke atas Palace yang jelas keletihan susulan jadual perlawanan yang padat.
“Pada akhirnya kami berjaya melakukannya. Pasukan mempamerkan semangat juang yang tinggi hari ini dan saya fikir keinginan mengatasi segalanya dalam perlawanan ini,” kata Frank.
Palace kini tanpa kemenangan dalam lima perlawanan dengan kemampuan mereka mula terjejas kerana perlu menghadapi tiga kejohanan berbeza.
Kemenangan yang sudah lama ditunggu itu sekurang-kurangnya meredakan tekanan terhadap Frank buat sementara waktu.
Namun satu lagi persembahan hambar di bahagian serangan pasti tidak cukup untuk menutup mulut pengkritiknya dalam kalangan penyokong Tottenham.
Spurs tidak mencatat sebarang percubaan tepat ke sasaran daripada permainan terbuka dan hanya dinafikan jaringan awal apabila Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan Richarlison berada dalam kedudukan ofsaid.
Gol tunggal perlawanan akhirnya hadir apabila Gray menanduk masuk sentuhan Richarlison hasil sepakan penjuru, sekali gus menjadi gol pertamanya dalam 112 penampilan bersama Tottenham dan Leeds.
Palace menguasai kawasan padang serta penguasaan bola selepas rehat, namun gagal mempamerkan ketajaman di hadapan gawang untuk menghukum Spurs.
© New Straits Times Press (M) Bhd




