Undang risiko kemalangan maut

Undang risiko kemalangan maut

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Masalah lembu berkeliaran di jalan utama di daerah ini terus menghantui pengguna jalan raya apabila mendakwa kerap berlaku kemalangan membabitkan haiwan ternakan itu.

Kehadiran lembu tanpa pemantauan pemilik dikesan membabitkan laluan utama antaranya Jalan Gua Musang-Kuala Krai; Jalan Gua Musang-Jeli; Jalan Gua Musang-Lojing; Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Jalan Gua Musang-Aring.

Tinjauan mendapati masalah ternakan yang berkeliaran bebas di laluan utama masih berterusan, menyebabkan pengguna jalan raya berdepan risiko kemalangan dan kerugian.

Menurut pengguna jalan raya, Azrie Ismail, 32, ancaman itu menjadi lebih besar dan boleh meragut nyawa sekiranya penunggang motosikal yang terbabit kemalangan dengan lembu bebas di jalan raya.

“Pada musim cuti sekolah banyak kenderaan luar masuk ke Gua Musang untuk pulang ke kampung halaman, (jadi) kehadiran lembu di tepi jalan atau tengah jalan pada waktu malam sangatlah membahayakan.

“Antara jalan utama pilihan pengguna adalah Jalan Gua Musang-Kuala Krai serta Jalan Gua Musang-Jeli dan kedua-duanya kerap ada haiwan ternakan yang berkeliaran bebas.

“Saya harap penternak dapat lebih bertanggungjawab terhadap haiwan mereka. Kerana jika berlaku kemalangan ia boleh menyebabkan kerugian kepada kedua-dua pihak malah, risiko kematian,” katanya.

Mohd Azri Mohd Hanafi, 36, yang sering menggunakan Jalan Gua Musang-Jeli berharap pihak berwajib dapat melakukan pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pemilik ternakan yang membiarkan haiwan mereka berkeliaran di atas jalan raya.

“Kami pengguna laluan ini setiap hari, sentiasa terdedah risiko kemalangan kerana banyak lembu yang berkeliaran.

“Bagi saya yang sudah biasa dengan laluan ini, memang akan sentiasa peka, tetapi untuk mereka yang jarang melalui kawasan ini, takkan sedar ancaman lembu yang tiba-tiba melintas atas jalan.

“Laluan ini pula jalan utama ke Jeli, Tanah Merah dan Rantau Panjang, jadi banyak kenderaan. Saya harap ada tindakan segera daripada pihak berwajib untuk mengatasi masalah ini sebelum nyawa melayang,” katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top