Greenpeace Malaysia gesa siasatan telus insiden air Sungai Perak bertukar biru

Greenpeace Malaysia gesa siasatan telus insiden air Sungai Perak bertukar biru

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Greenpeace Malaysia menggesa kerajaan segera menjalankan siasatan secara telus susulan insiden air Sungai Perak bertukar biru, sehingga mendorong pihak berkuasa menggantung operasi di beberapa tapak perlombongan di kawasan itu.

Ketua Jurukempen Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun, berkata penggantungan operasi perlombongan adalah langkah wajar namun ‘hanya permulaan’.

Jelasnya, laporan awal menunjukkan bacaan radiasi di sebuah kawasan sisa mencecah 13 kali ganda melebihi had dibenarkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keselamatan alam sekitar, ketelusan pengurusan sisa serta keberkesanan penguatkuasaan regulatori.

“Insiden itu adalah isyarat jelas bahawa pengembangan industri perlombongan tidak boleh dijalankan dengan mengorbankan kesihatan awam dan keselamatan alam sekitar.

“Masa depan sungai dan generasi akan datang tidak boleh dipertaruhkan demi keuntungan jangka pendek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya menyenaraikan tiga tindakan mendesak yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan termasuk menubuhkan panel pakar bebas tanpa pengaruh korporat untuk menyiasat punca kimia yang menyebabkan sungai bertukar biru, sumber radiasi dan kegagalan pengurusan sisa dan tahap pematuhan syarikat terhadap EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar).

“Hasil dapatan perlu didedahkan demi keselamatan orang awam.

“Selain itu, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada perlindungan komuniti dan tindakan pemulihan segera, termasuk melaksanakan pemantauan menyeluruh terhadap kualiti air dan ekosistem di kawasan hilir serta menyediakan sumber air bersih sekiranya terdapat risiko terhadap kesihatan penduduk.

“Syarikat perlombongan mesti menanggung sepenuhnya kos kerja pembersihan berdasarkan prinsip ‘pencemar membayar’,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, Greenpeace juga menuntut supaya hak komuniti yang bergantung kepada Sungai Perak diutamakan, termasuk memastikan penduduk dimaklumkan secara jelas mengenai sebarang risiko, diberi perlindungan kesihatan sewajarnya dan dilibatkan dalam proses pemulihan serta pembuatan keputusan berkaitan.

Greenpeace turut mengingatkan bahawa insiden berkenaan menguatkan lagi kebimbangan yang dibangkitkan menerusi laporan Minerals for Energy Transition: Greenpeace’s Guiding Principles yang diterbitkan pada Jun 2025, yang menekankan risiko berterusan perlombongan terhadap ekosistem, masyarakat Orang Asli dan komuniti setempat.

“Perlombongan tidak seharusnya dijalankan di kawasan larangan atau no-go zones, selain menuntut agar Malaysia melaksanakan Deklarasi ASEAN mengenai hak alam sekitar sebagai undang-undang yang boleh dikuatkuasakan.

“Kami komited menyokong pemantauan bebas, kerjasama komuniti dan pembaharuan dasar bagi memastikan insiden serupa tidak berulang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top