GRS yakin kerajaan setuju semak kadar baharu Pemberian Khas kepada Sabah – Armizan

GRS yakin kerajaan setuju semak kadar baharu Pemberian Khas kepada Sabah – Armizan

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulangi pendirian tegasnya bahawa semakan terkini kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu dinyatakan semasa menyelaraskan Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan wakil rakyat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Sungguhpun kes berkaitan hak 40 peratus masih dalam proses perundangan di peringkat mahkamah rayuan, GRS telah menyatakan pendirian tegas supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini juga.

“Diyakini kerajaan Persekutuan akan bersetuju untuk membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu pada tahun 2026,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu, ia sejajar dengan komitmen yang dizahirkan oleh Perdana Menteri sebelum ini berhubung perkara itu.

“Ini termasuk dalam platform rasmi di Dewan Rakyat pada 13 November 2025 bahawa kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Pemberian Khas bagi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Komitmen ini menzahirkan komitmen kerajaan Persekutuan hari ini untuk memperbetulkan pendirian rasmi kerajaan Persekutuan pada pentadbiran-pentadbiran lalu yang bukan sahaja tidak membuat sebarang semakan, malah pernah dijawab secara rasmi di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah itu telah terhenti berkuat kuasa, ” tegasnya.

Menurut Ahli Parlimen Papar itu lagi, GRS dan kerajaan negeri akan terus menggunakan platform dan wadah perundingan yang diwujudkan untuk memastikan semakan kadar baharu Pemberian Khas akan dibuat tahun ini dapat mencapai angka yang jauh lebih tinggi sebagaimana hak dan syor ini telah dikemukakan secara rasmi.

“Sabah menuntut hak dan tambahan hasil tersebut adalah untuk memperbesarkan ruang fiskal negeri untuk kesejahteraan rakyat dan lonjakan pembangunan negeri.

“Sebagai contoh, dengan peningkatan Special Grant dari hanya RM26.7 juta dari tahun 1974-2021, kadar yang diterima kini RM600 juta setahun telah membolehkan beberapa inisiatif baharu dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Tambah beliau lagi, pada peringkat awal peningkatan kadar tersebut, kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah memutuskan beberapa inisiatif yang memanfaatkan secara langsung kepada rakyat, supaya hak ini dapat didengar, dilihat dan dirasai serta-merta oleh rakyat dimulai dengan kumpulan rentan dalam kategori miskin.

“Antaranya, pelaksanaan inisiatif Rumah Mesra SMJ. Setakat 2022 hingga 30 April lalu, sebanyak 6,634 rumah telah siap dibina dan telah pun diduduki isi rumah miskin,” katanya.

“Sementara itu, inisiatif Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang telah bermula 2 tahun lalu pula telah menyalurkan bantuan tunai bulanan kepada 140 ribu ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Armizan berkata, dengan jangkaan peningkatan Pemberian Khas tahun ini, kerajaan negeri disasarkan memberi fokus kepada inisiatif tambahan seperti menaik taraf rangkaian sistem perpaipan air untuk menangani isu non-revenue water (NRW) dan pembinaan jambatan-jambatan seluruh negeri khususnya kawasan luar bandar.

Sebelum itu, sesi perbincangan tersebut turut dihadiri bersama tiga Timbalan Ketua Menteri yang mengetuai delegasi Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JT-MTPMA63)

Scroll to Top