
Lebih 20 rakyat Palestin dilaporkan maut dalam tempoh 48 jam susulan serangan Israel.
GAZA – Kumpulan Palestin Hamas pada Khamis mendakwa peningkatan serangan Israel terhadap orang awam di Semenanjung Gaza serta kematian lebih 20 rakyat Palestin dalam tempoh 48 jam lalu menunjukkan Tel Aviv mahu kembali kepada “tempoh serangan Israel di Semenanjung Gaza” yang berterusan selama dua tahun, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan Hamas berkata, serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah apartmen kediaman di tengah Bandar Gaza pada waktu malam, mengorbankan 10 rakyat Palestin termasuk dua kanak-kanak dan dua wanita, selain mencederakan puluhan yang lain, merupakan “jenayah baharu” dan “pelanggaran baharu secara terang-terangan” terhadap perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani di Sharm el-Sheikh.
Perjanjian gencatan senjata Sharm el-Sheikh ditandatangani pada Oktober 2025 menerusi pengantaraan Mesir, Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Turkiye sebelum mula berkuat kuasa pada bulan sama.
Perjanjian itu dimeterai selepas dua tahun serangan Israel di Semenanjung Gaza yang bermula pada 8 Oktober 2023, menyaksikan lebih 72,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 172,000 cedera, menurut angka Palestin selain kemusnahan besar yang menjejaskan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam.
Hamas berkata, serangan yang dipertingkat Israel terhadap orang awam di seluruh Gaza serta kematian lebih 20 rakyat Palestin dalam serangan yang menyasarkan kawasan kejiranan kediaman sepanjang dua hari lalu menunjukkan niat Israel untuk menyambung semula operasi ketenteraan berskala besar.
Kumpulan Palestin itu turut menuduh Israel tidak mengendahkan usaha negara pengantara serta melanggar jaminan dan komitmen yang dibuat di bawah perjanjian gencatan senjata berkenaan. – Bernama


