GSF 2.0: 28 aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA

GSF 2.0: 28 aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA

Sepang: Seramai 28 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza selamat tiba di tanah air malam ini.

Kesemua mereka bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye pada 11.25 malam Sabtu sebelum transit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mereka kemudian meneruskan perjalanan pulang ke negara ini dengan penerbangan Emirates EK342 yang mendarat di KLIA Terminal 1 pada 9.30 malam.

Ketibaan kumpulan itu disambut Menteri Besar Selangor yang juga Menteri Penaung Misi Global Sumud Flotila, Datuk Seri Amirudin Shari serta lebih 100 ahli keluarga aktivis dan pendukung Palestin.

Suasana di balai ketibaan dipenuhi laungan “Free Palestine” dan “Allahuakbar” sambil para penyokong mengibarkan bendera Palestin bagi menyambut kepulangan mereka.

Tangisan kegembiraan, air mata kesyukuran dan pelukan erat antara ahli keluarga serta rakan seperjuangan turut mengiringi detik pertemuan berkenaan.

Antara sukarelawan yang menyertai misi itu ialah Norazman Ishak, Muhammad Hareez Adzrami, Nor Liyana Farhan Daud, Zainal Rashid Ahmad, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Hazwan Hazim Dermawan, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Hanafi Mohd Salim dan Mohd Shamsir Mohd Isa.

Turut serta Mohd Redzal Amzah, Muhammad Zaid Abdul Karim, Al-Ahmad Shah Abdul Kadir, Mohammad Farizzal Rostam, Chin Shiau Weai, Abdul Samad Selamat, Mohammad Shazly Mohammad Shees, Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari, Syed Aminul Syafiq Syed Iskandar dan Osman Zulkifli.

Peserta lain ialah Jihan Alya Mohd Nordin, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar, S. Patmanathan, Syakirin Muhamad Senin, Muhammad Muhsin Zaidi, Abdul Rahim Abdul Razak, Eddy Noor Mat Amin, Noor Thanisah Mohamad Tajudin dan Naufa Azhar.

Sementara itu, seorang lagi aktivis Razman Mat Ali masih berada di Istanbul bagi menerima rawatan selepas mengalami Traumatic Pneumothorax atau paru-paru bocor akibat ditumbuk tentera Israel.

Sebelum ini, SNCC mengesahkan kesemua 50 kapal misi GSF 2.0 yang membawa 430 aktivis kemanusiaan termasuk 29 rakyat Malaysia telah diculik Israel.

Kapal yang membawa sukarelawan misi kemanusiaan GSF 2.0 itu dipintas tentera Israel berhampiran perairan Cyprus pada 18 Mei.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top