GSF 2.0: Sepanyol desak pembebasan aktivis Saif Abu Keshek ditahan di Israel

GSF 2.0: Sepanyol desak pembebasan aktivis Saif Abu Keshek ditahan di Israel
GSF 2.0: Sepanyol desak pembebasan aktivis Saif Abu Keshek ditahan di Israel

Saif ketika berada di mahkamah Israel. – FOTO: AFP

VIENNA – Sepanyol menuntut pembebasan segera aktivis Sepanyol-Palestin, Saif Abu Keshek selepas Mahkamah Israel pada Isnin melanjutkan tempoh tahanannya kepada dua hari.

Kementerian Luar Sepanyol dalam satu kenyataan menegaskan, kerajaan menggesa pembebasan segera Saif yang didakwa ditahan secara tidak sah.

Konsul Sepanyol di Tel Aviv turut hadir dan menemani Saif sewaktu perbicaraan di Mahkamah Israel.

Menurut kumpulan hak asasi yang hadir di mahkamah itu, Saif serta aktivis asal Brazil, Thiago Avila masing-masing ditahan selama dua hari oleh mahkamah.

Kedua-duanya ditahan selepas penyertaan mereka dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 ke Gaza, Palestin yang dipintas oleh pasukan tentera Israel di perairan antarabangsa.

Tiada pertuduhan rasmi diumumkan setakat ini.

Kumpulan hak asasi yang mewakili kedua-dua aktivis mempertikai bidang kuasa Israel dengan alasan penahanan dilakukan di perairan antarabangsa.

Menurut peguam, Saif dan Thiago turut melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan yang didakwa tidak sah.

Mereka juga mendakwa mengalami penderaan fizikal semasa dan selepas penahanan termasuk dipukul, ditutup mata, diikat tangan serta ditahan secara berasingan.

Dakwaan itu bagaimanapun belum disahkan secara bebas.

Sementara itu, Israel mendakwa kedua-dua individu tersebut mempunyai kaitan dengan sebuah organisasi yang disyaki berhubungkait Hamas serta terlibat dalam aktiviti haram.

Sepanyol menolak dakwaan terhadap warganegaranya dan menyifatkan penahanan itu sebagai tidak sah. – AGENSI

Scroll to Top