
Thiago (kiri) dan Saif Abu Keshek telah dibebaskan, dihantar pulang serta tidak lagi berada di bawah tahanan rejim Israel.
SHAH ALAM – Aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 iaitu Thiago Avila dan Saif Abu Keshek sah dibebaskan, dihantar pulang serta tidak lagi berada di bawah tahanan rejim Israel.
Perkara itu dimaklumkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) sambil memetik kenyataan rasmi daripada peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) dan ahli organisasi ‘International Federation for Human Rights’ (FIDH).
“Walaupun mereka kini bebas, ADALAH dan FIDH mengecam keseluruhan proses ini sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Daripada penculikan di perairan antarabangsa sehinggalah penahanan haram dalam pengasingan penuh serta layanan buruk diterima mereka, tindakan pihak berkuasa Israel merupakan serangan berbentuk hukuman terhadap misi awam yang sepenuhnya aman,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
ADALAH berpandangan, penahanan, soal siasat dan penyeksaan terhadap aktivis serta pembela hak asasi manusia adalah cubaan yang tidak boleh diterima untuk menekan solidariti global bersama rakyat Palestin di Gaza.
“Selagi pencabulan hak asasi manusia terus dilakukan setiap hari oleh pihak berkuasa Israel di Gaza, ADALAH dan FIDH akan terus bekerja dan berjuang untuk menamatkan budaya kebal daripada tindakan undang-undang ini,” ujarnya.
Sebelum ini, aktivis, Musa al-Nuwayri menerusi hantaran di platform Threads turut memaklumkan bahawa Saif dan Thiago dibebaskan.
Menurut Musa, Saif dibebaskan di Athens manakala Thiago dilepaskan melalui Mesir dan dijangka tiba di destinasi seterusnya dalam tempoh beberapa jam.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Sepanyol menuntut pembebasan segera aktivis Sepanyol-Palestin, Saif selepas Mahkamah Israel pada Isnin lalu melanjutkan tempoh tahanannya kepada dua hari.
Kementerian Luar Sepanyol dalam satu kenyataan menegaskan, kerajaan menggesa pembebasan segera Saif yang didakwa ditahan secara tidak sah.
Menurut kumpulan hak asasi yang hadir di mahkamah itu, Saif dan aktivis asal Brazil, Thiago masing-masing ditahan selama dua hari oleh mahkamah.
Kedua-duanya ditahan selepas penyertaan mereka dalam misi GSF 2.0 ke Gaza, Palestin yang dipintas oleh pasukan tentera Israel di perairan antarabangsa.



