Akta Kredit Pengguna 2025 bakal dilaksanakan, BNPL antara yang akan dikawal selia

Akta Kredit Pengguna 2025 bakal dilaksanakan, BNPL antara yang akan dikawal selia

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) terus mempergiat usaha libat urus bersama peserta industri menjelang pelaksanaan proses kebenaran

beroperasi di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP) yang merangkumi pelesenan dan pendaftaran.

Pelaksanaan ini adalah langkah penting dalam mewujudkan rangka kerja kawal selia yang lebih tersusun bagi penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan

kredit bukan bank.

Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, fokus utama SKP adalah untuk memastikan semua peserta industri yang berkaitan memahami tanggungjawab mereka di bawah AKP dan bersedia menghadapi pelaksanaan rangka kerja kawal selia baharu terbabit.

“Pembabitan awal dan secara berterusan bersama industri akan membantu memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar serta menyokong pembangunan industri kredit pengguna yang lebih telus dan berintegriti.

“Sejajar dengan usaha itu, SKP akan menganjurkan Sesi Taklimat Industri pada 18

dan 19 Mei 2026,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sesi itu bertujuan membantu industri kredit yang sebelum ini tidak tertakluk di bawah mana-mana kawal selia khusus untuk memahami keperluan yang

ditetapkan serta membuat persediaan awal bagi memastikan pematuhan menjelang

pelaksanaan kebenaran beroperasi pada Jun nanti.

Selain itu, di bawah Fasa 1 pelaksanaan Akta ini, enam aktiviti perniagaan akan berada dalam skop kawal selia iaitu skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, serta kaunseling dan pengurusan hutang.

“Peserta industri yang sudah dikenal pasti menjalankan aktiviti terbabit akan dihubungi secara terus oleh pihak SKP untuk menyertai sesi taklimat ini.

“Pada masa sama, mana-mana pihak yang berkemungkinan tertakluk di bawah Akta

ini, tetapi masih belum dikenal pasti, disaran untuk tampil mendaftarkan minat menerusi laman web rasmi SKP,” katanya.

Katanya, ini bagi membolehkan mereka turut serta dalam sesi taklimat dan proses persediaan kawal selia yang sedang dilaksanakan oleh SKP.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SKP untuk memastikan

proses peralihan ke arah pelaksanaan kebenaran beroperasi berjalan secara lancar dan teratur.

Akta Kredit Pengguna serta penubuhan SKP adalah sebahagian dari agenda

reformasi kerajaan dalam memperkukuh ekosistem kredit pengguna yang lebih telus, bertanggungjawab dan inklusif.

Rangka kerja kawal selia ini juga bertujuan meningkatkan perlindungan serta pemerkasaan pengguna kredit, di samping menyediakan garis panduan yang jelas dan keseragaman kawal selia kepada pemain industri untuk beroperasi secara lebih profesional dan bertanggungjawab.

Selain itu, SKP komited dalam membangunkan ekosistem yang berteraskan standard pelakuan yang tinggi, di samping memastikan rangka kerja kawal selia yang seimbang bagi menyokong pertumbuhan mampan serta inovasi yang bertanggungjawab.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top