Gua Musang daerah terbaharu dilanda banjir

Gua Musang daerah terbaharu dilanda banjir

am@hmetro.com.my\

Kota Bharu: Gua Musang menjadi daerah terbaru yang dilanda banjir di Kelantan, menjadikan jumlah mangsa semakin meningkat kepada 1,383 orang setakat 4 petang ini berbanding 1,184 orang tengah hari ini.

Kesemua mangsa daripada 379 keluarga itu berlindung di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang.

Menurut portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir paling ramai adalah di Pasir Mas seramai 719 orang membabitkan 198 keluarga berlindung di tiga PPS.

Mangsa banjir di Jeli pula berjumlah 539 orang daripada 145 keluarga berada di empat PPS, diikuti di Tanah Merah seramai 103 orang daripada 35 keluarga di lima PPS dan Gua Musang (22 orang, empat keluarga).

Sementara itu, laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, tiga sungai lepasi paras bahaya, lapan sungai berada di tahap amaran dan tiga sungai melepasi tahap berjaga-jaga.

Tiga sungai melepasi paras bahaya adalah Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai iaitu 38.63 meter (m); Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.65m) dan Sungai Kelantan di Kuala Besar Kota Bharu (2.11m).

© New Straits Times Press (M) Bhd