Guan Eng pertikai kualiti kerja Gurney Bay

Guan Eng pertikai kualiti kerja Gurney Bay

GEORGE TOWN – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempertikaikan kualiti hasil kerja fasa pertama Taman Gurney Bay di sini selepas struktur konkrit projek itu didakwa retak.

Kenyataan yang dimuat naik Guan Eng di Facebook rasminya turut memaparkan gambar tali pada alat permainan di taman yang sama itu putus.

“Rosak sebaik siap dibina? Bukan sahaja tali pada alat permainan yang dilaporkan rosak namun struktur konkrit juga dilaporkan telah retak semasa pembukaan fasa satu Taman Gurvey Bay yang baru dibuka kepada orang awam.

“Fasa satu Projek Taman Gurney Bay ini membabitkan kos RM247 juta penuh dengan reka bentuk dinding konkrit menimbulkan keraguan dan tanda tanya mengenai perancangan asal, reka bentuk, pemantauan hasil dan juga kualiti kerja.

“Mujurlah pihak terbabit bertindak selepas aduan disampaikan, namun ia tidak dapat mengelakkan persoalan mengenai kualiti kerja,” tulisnya hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan pembukaan fasa pertama Gurney Bay kepada orang awam dan menyifatkannya sebagai taman rekreasi untuk seisi sekeluarga dengan lokasi unik yang terletak di sebelah laut dengan pemandangan pantai.

Fasa pertama berkeluasan 11.2 hektar dilengkapi pelbagai kemudahan seperti taman permainan, taman untuk sukan luncur, kiosk penjaja, dek melihat sudut pandang selatan, tandas awam dan parkir kereta terbuka. – MalaysiaGazette