Guna taktik ikrar ubi kentang, AKPS rampas 14 kontena ayam sejuk beku bernilai RM2.43 juta

Guna taktik ikrar ubi kentang, AKPS rampas 14 kontena ayam sejuk beku bernilai RM2.43 juta

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sebanyak 14 kontena mengandungi ayam sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk kononnya sebagai ubi kentang dan kacang peas berjaya dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Pelabuhan Sepanggar, di sini, baru-baru ini.

Rampasan ayam sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk dari China dan Hong Kong itu dianggarkan bernilai RM2.43 juta dengan keseluruhan berat mencecah 404,232 kilogram.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan bermula 19 Mei lalu hasil kerjasama antara AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah serta pihak berkuasa pelabuhan.

Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan pegawai AKPS di Kawasan Pemeriksaan Kastam (CEA) mendapati semua kontena berkenaan mengandungi ayam sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk melalui pengikraran tidak benar.

“Rampasan melibatkan anggaran berat sebanyak 404,232 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.43 juta.

“Produk berkenaan dipercayai berasal dari China dan Hong Kong. Modus operandi mendapati semua barangan ini telah pun dipaketkan dalam paket yang menunjukkan dari dua negara dan sedia untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.

Suhaily berkata, susulan kejayaan itu, AKPS menyita keseluruhan dagangan bagi tujuan siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 (Akta 235) berkaitan kesalahan membuat perakuan atau dokumen tidak benar dalam perkara material.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Suhaily berkata, AKPS turut mengenal pasti 12 kontena yang dipercayai menggunakan modus operandi serupa dan kini berada di bawah pemantauan pihak berkuasa.

Katanya, semua kontena tambahan itu dianggarkan melibatkan berat keseluruhan sebanyak 348,000 kilogram dengan nilai dagangan RM3.42 juta.

“AKPS memandang serius sebarang cubaan membawa masuk dagangan secara tidak sah melalui pengikraran palsu atau sebarang bentuk pelanggaran kawal selia di pintu masuk negara.

“Sehubungan itu, AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara menerusi pendekatan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan demi memastikan keselamatan sempadan dan pematuhan terhadap undang-undang negara sentiasa terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top