am@hmetro.com.my
Melaka: Pelajar perempuan menerima rawatan di Hospital Melaka selepas ditemui dengan kesan kelar di leher di sebuah rumah di sekitar Banda Hilir, di sini, semalam.
Mangsa berusia 14 tahun dilaporkan selamat selepas dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut sejurus kejadian.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, remaja terbabit kini berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau pasukan perubatan.
“Mangsa menerima rawatan di hospital dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
“Pasukan perubatan hospital sedang menjalankan pemantauan rapi selain memberikan rawatan lanjut kepada remaja terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, aspek sokongan emosi dan psikososial turut diberi perhatian dalam pengurusan kes itu bagi membantu keadaan mental dan emosi mangsa.
Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu selain menghormati privasi mangsa dan keluarganya memandangkan remaja terbabit masih bawah umur.
“Identiti pelajar berkenaan tidak akan didedahkan bagi melindungi privasi pesakit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




