KOTA BHARU: Permintaan tinggi kapur barus dalam kerja-kerja membersihkan perut lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha membuatkan seorang peniaga di Pasar Siti Khadijah, di sini tidak menang tangan menyiapkan bahan tersebut .
Faizal Yusof, 42, berkata, sejak seminggu lalu sehingga semalam, lebih 300 kilogram kapur telah diproses untuk kegunaan tersebut.
“Setiap kali sambutan Aidiladha permintaan kapur naik mendadak berbanding hari biasa. Saya memproses sendiri bahan ini dan dijual pada harga RM1 hingga RM5 untuk satu bekas atau bungkusan plastik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, seorang pelanggan, Rosmawati Mohamad, 54, berkata, lazimnya dia membeli bahan itu sehari lebih awal sebelum sambutan Aidiladha bagi mengelakkannya habis.
Katanya, kapur adalah bahan penting yang diperlukan dalam membersihkan perut lembu.
Sementara itu, tinjauan akhbar ini mendapati, pelanggan mula memenuhi pasar itu kira-kira pukul 7 pagi semalam untuk membeli beberapa barangan keperluan termasuk santan, rempah-ratus, ayam dan sayur-sayuran.
Seorang peniaga santan, Zura Osman, 41, berkata, lebih 1,300 biji kelapa sudah diproses untuk menjadikan santan segar yang dijual kepada pelanggan semalam.
Katanya, walaupun harga santan dijual RM15 sekilogram, pelanggan tetap membelinya sebagai bahan kelengkapan utama dalam masakan. – UTUSAN




