Ipswich: Arsenal mengekalkan tekanan dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Ipswich Town, sekali gus menamatkan impian Liverpool untuk menjulang trofi liga minggu ini.
Leandro Trossard meledak dua gol dalam aksi di Stadium Emirates manakala pemain Ipswich, Leif Davis, dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras terhadap Bukayo Saka.
Kemenangan itu meletakkan Arsenal di tangga kedua dengan 66 mata, namun Liverpool yang akan berdepan Leicester City selepas ini masih hanya memerlukan dua kemenangan daripada baki perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan.
Trossard membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 sebelum Gabriel Martinelli menambah gol kedua hasil penyudah mudah pada minit ke-28.
Davis kemudian dibuang padang kerana mengasari Saka dengan terjahan yang mengundang kecaman.
Trossard sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-69 sebelum Ethan Nwaneri melengkapkan malam sempurna Gunners dengan gol keempat di penghujung permainan.
Kekalahan itu menyaksikan Ipswich terus kekal di zon penyingkiran di tangga ke-18 dengan 21 mata, dan bakal tersingkir jika kehilangan mata sekali lagi atau sekiranya West Ham United, yang kini di tangga ke-17, mengutip satu lagi mata daripada baki lima perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




