am@hmetro.com.my
Temerloh: Seorang guru sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak.
Bagaimanapun tertuduh, Rosli Sulaiman, 47, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Mengikut fakta pertuduhan pertama, guru terbabit didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit miliknya.
Kesalahan didakwa dilakukan kira-kira jam 6 petang, 18 Jun lalu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh.
Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Rosli didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit serta komputer riba miliknya.
Kesalahan dilakukan jam 4.45 petang, 19 Jun lalu, di sebuah rumah di Kampung Berhala Gantang, di sini.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zaffar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan 30 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Hakim turut menetapkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu saksi dan melapor diri di balai polis berdekatan kediamannya sebulan sekali.
© New Straits Times Press (M) Bhd