Guru lelaki bersolek bak wanita diberhentikan selepas video tular

JAKARTA – Seorang guru kontrak di Kabupaten Tolitoli, Sulawesi Tengah diberhentikan daripada tugas selepas video memaparkan dirinya bersolek seperti wanita ketika berada di sekolah tular di media sosial.

Muhammad Yasin merupakan guru mata pelajaran Seni Budaya di Sekolah Dasar Negeri (SDN) 1 Ogotua, Kecamatan Dampal Utara.

Kes itu mendapat perhatian selepas rakaman memaparkan penampilannya ketika berada di kawasan sekolah dan mengajar tersebar secara meluas sehingga mendorong Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan Tolitoli (Disdikbud) Tolitoli mengambil tindakan.

Disdikbud sebelum itu dilaporkan memanggil Yasin bersama guru besar sekolah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan dan menjalani proses bimbingan.

Proses tersebut kemudiannya disusuli dengan pemberhentian Yasin daripada tugasnya sebagai guru kontrak.

Ketua jabatan Disdikbud Sulawesi Tengah, Firmanza mengesahkan perkara berkenaan dan menjelaskan keputusan pemberhentian berada di bawah bidang kuasa Jabatan Pendidikan Kabupaten Tolitoli.

“Itu memang bidang kuasa Dinas (jabatan) Pendidikan Kabupaten.

“Kami hanya menerima maklumat bahawa guru tersebut sudah diberhentikan daripada tugasnya sebagai guru kontrak,” katanya kepada media pada Selasa.

Keputusan tersebut dimaklumkan menerusi surat dikeluarkan SDN 1 Ogotua bertarikh 12 September 2026.

Menurut surat berkenaan, keputusan pemberhentian dibuat berdasarkan hasil penilaian dalaman serta pertimbangan berkaitan norma dan etika dalam persekitaran sekolah.

Pihak sekolah turut menyatakan tindakan itu diambil bagi menjaga keselesaan dan kepentingan bersama seluruh warga sekolah.

Bagaimanapun, surat tersebut tidak memperincikan perbuatan atau kejadian tertentu yang menjadi asas kepada hasil penilaian dalaman berkenaan.

Justeru, berdasarkan kandungan surat yang dilaporkan, tidak dinyatakan secara khusus bahawa penampilan Yasin seperti wanita merupakan sebab rasmi beliau diberhentikan. – Agensi

Scroll to Top