Guru maut kereta terbabas selepas balik menebas kebun ibu

Guru maut kereta terbabas selepas balik menebas kebun ibu

am@hmetro.com.my

Baling: Guru lelaki maut selepas kereta dipandu terbabas ke dalam parit di Kampung Teluk Sungai Durian, Bongor, di sini hari ini.

Dalam kemalangan 2.40 petang itu, mangsa, Saiful Yazan Hasan, 44, meninggal dunia di tempat kejadian.

Abang mangsa, Hamdan Jamil, 49, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan adiknya maut dalam kemalangan.

“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah Aidilfitri lalu. Saya dimaklumkan arwah adik dalam perjalanan pulang ke rumah emak di Kampung Banggol Leban dan jarak tempat kemalangan tidak jauh dari rumah emak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hamdan berkata, arwah adiknya menetap bersama isteri dan dua anaknya di Sungai Petani tetapi mengajar di Maktab Mahmud Kuala Ketil.

Katanya, arwah memang seorang yang rajin dan dia kerap pulang ke rumah ibunya jika ada masa lapang.

“Saya dimaklumkan dia baru pulang selepas selesai menebas semak di kebun milik emak sebelum kemalangan berlaku.

“Saya pun masih terkejut, tak tahu nak beritahu macam mana perasaan kehilangan adik… saya tak mahu pada emak kerana dia masih terkejut,” katanya.

Menurutnya, arwah dijangka dikebumikan di Kampung Bongor Batu 48 selepas segala urusan di unit forensik selesai.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 2.48 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Ramdan Rusdan Fadhil ke lokasi dan mendapati mangsa masih berada dalam kereta Perodua Viva.

“Kereta itu terbabas dan masuk ke dalam parit menyebabkan pintu di sebelah pemandu tidak dapat dibuka.

“Anggota Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top