firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Nafuzi Zain menegaskan kemenangan dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF B-19 menentang Singapura di Medan, Selasa ini amat penting bagi membuka laluan Malaysia ke peringkat separuh akhir.
Menurut Nafuzi, tiga mata dalam perlawanan pertama bukan saja mampu memberikan kelebihan awal dalam saingan kumpulan, malah menjadi suntikan motivasi kepada pemain untuk mengharungi baki kempen dengan lebih yakin.
Katanya, keputusan positif pada perlawanan pembukaan sentiasa menjadi sasaran utama kerana ia mampu meletakkan pasukan dalam kedudukan terbaik untuk memburu slot ke kelompok empat terbaik.
“Yang penting kena menang perlawanan pertama untuk membuka peluang kami ke separuh akhir. Kami perlu menang dengan (tahap) persembahan yang saya inginkan,” katanya.
Bagaimanapun, Nafuzi mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang mudah cabaran Singapura yang disifatkannya memiliki skuad berkualiti serta cukup bersedia untuk memberikan tentangan sengit.
Beliau berkata, reputasi atau rekod lampau tidak lagi menjadi ukuran di pentas kejohanan usia muda kerana setiap pasukan hadir dengan persiapan tersendiri dan mampu mencipta kejutan.
Justeru, beliau mahu para pemain kekal fokus sepanjang 90 minit permainan serta berpegang kepada setiap perancangan taktikal yang telah dirangka oleh barisan kejurulatihan.
“Bola sepak kena dibuktikan di atas padang dan mengikuti pelan permainan kami dengan tenang. Tidak semua pemain kali ini pernah bermain di peringkat kebangsaan,” katanya.
Selain memburu kemenangan, Nafuzi turut berharap dapat melihat pemain-pemain muda negara menterjemahkan corak permainan yang diterapkan sepanjang kem latihan sebagai petanda positif menjelang baki aksi dalam saingan Kumpulan B yang turut menghimpunkan Brunei dan Thailand.
© New Straits Times Press (M) Bhd




