bhnews@bh.com.my
MUKAH: Seorang guru wanita mengalami kerugian hingga mencecah RM110,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata mangsa berusia 32 tahun dari Kedah itu mengajar di sebuah sekolah rendah, di sini.
Berdasarkan laporan guru itu, beliau berkata, terdahulu mangsa dihubungi seorang wanita kononnya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), 12 Februari lalu.
Katanya, suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM36,690, dan terdapat sebuah syarikat di Kuantan, Pahang, didaftarkan atas namanya.
Beliau berkata, suspek kemudian meminta mangsa membuat laporan polis lalu terus menyambung talian kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk bercakap dengan ‘Sarjan Arifin’.
“Mangsa diminta memberikan butiran peribadi dan perbankan serta nombor TAC kononnya kepada pihak Bank Negara Malaysia bagi tujuan penyiasatan dan pembekuan akaun.
“Mangsa yang berasa cemas telah mengikuti arahan ‘Sarjan Arifin’ dan mendedahkan semua butiran yang diminta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhamad Rizal memaklumkan, guru itu pergi ke sebuah cawangan bank di Mukah untuk menyemak baki wang dalam akaunnya, kelmarin.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa mendapati wangnya sebanyak RM110,000 sudah dipindahkan ke akaun seorang individu lain.
Susulan itu, katanya, mangsa yang mengesyaki diri ditipu tampil membuat laporan di Balai Polis Mukah, jam 12.51 tengah hari semalam.
Beliau berkata, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




