sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Atlet para negara yang berjaya memenangi pingat di Sukan Para Asean Kemboja 2023 bakal mendapat durian runtuh apabila wang tunai lebih RM1 juta bakal diberikan oleh kerajaan.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk R Subramaniam ketika ditanya berkenaan ganjaran yang bakal diperoleh oleh atlet negara yang cemerlang di temasya berkenaan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
“Ganjaran yang diberi berdasarkan dasar SHAKAM sedia ada, saya pasti pihak kerajaan akan menunaikan apa sahaja yang dijanjikan, saya tidak melihat ia satu masalah, walaupun kita sudah memenangi 50 pingat emas, saya percaya pihak Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengajukan perkara ini kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Nilainya mungkin melebih RM 1 juta, berdasarkan 50 pingat emas yang kami raih, darab dengan RM 20,000, tambah dengan pingat perak dan gangsa, jadi mungkin nilainya akan lebih,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis sambutan wira dan wrawati para Asean negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Kepulangan wira dan wirawati kontinjen Malaysia di KLIA turut disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Untuk rekod, kontinjen paralimpik negara membawa pulang 50 emas, 38 perak dan 34 gangsa di Phnom Penh untuk berada di tangga keempat keseluruhan dan pencapaian itu melepasi sasaran diletakkan sebelum ini, 33 emas.
Berdasarkan insentif di bawah SHAKAM, pemenang emas di Sukan Para Asean bakal menerima RM20,000 manakala yang berikutnya RM10,000.
Bagi acara berpasukan yang kurang daripada lima orang bakal menerima RM 5,000, manakala yang lebih daripada lima orang akan berkongsi RM20,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd

