'Kerosakan sangat teruk, kampung sudah tidak ada rumah' – MERCY Malaysia

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerosakan beberapa kawasan di Nepal akibat banjir dahsyat melanda negara itu disifatkan sangat teruk sehingga beberapa kampung sudah tidak mempunyai rumah.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Kumpulan Pasukan Penilaian Pantas MERCY Malaysia Vivegananthan Rajangam berdasarkan pemerhatiannya membabitkan tiga kawasan dilawatinya seperti Benighat, Nuwakot dan Bidur.

“Kerosakan itu sangat teruk. Ada beberapa kampung itu sampai satu rumah pun tak ada. Kalau orang baru pergi itu, dia ingat tak ada kampung dekat sana.

“Tempat yang dilanda banjir di sepanjang sungai itu memang sudah tidak ada orang tinggal. Ada banyak tempat tidak ada langsung kesan bekas rumah.

“Kalau macam penempatan yang bina bangunan konkrit itu pun lebih kurang 20 peratus sahaja yang tinggal. Kebanyakan bangunan konkrit ini pun hanyut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Vivegananthan berkata, mangsa banjir yang terselamat juga sudah dipindahkan jauh dari kawasan itu, dengan kebanyakan mereka dibawa ke Kathmandu dan Nuwakot.

Menurutnya, mereka juga ditempatkan di kawasan tinggi seperti di sekolah dan dewan.

Beliau berkata, pihak berkuasa Nepal juga sudah membina pusat penempatan membabitkan mangsa yang terselamat daripada banjir itu.

“Di daerah Nuwakot, sebanyak 19 pusat penempatan (sudah dibina). Daripada apa yang kami lihat, soal selidik dan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan, bekalan makanan mencukupi.

“Tetapi mereka perlukan bantuan lain, selain daripada makanan,” katanya sambil menambah beliau dan dua anggota MERCY yang lain akan berada di negara itu kira-kira selama 10 hari.

Vivegananthan turut menegaskan, pihaknya ke Nepal adalah bagi membuat kajian membabitkan kaedah untuk memberi bantuan kepada mangsa yang terselamat.

“MERCY Malaysia tidak terbabit dalam ‘search and rescue’ (mencari dan menyelamat). Kami ke sini untuk menolong sesiapa yang terselamat,” katanya.

Menurutnya, antara bantuan diberikan pihaknya adalah seperti pembelian ubat, bantuan peralatan memasak, mainan untuk kanak-kanak yang kemudiannya disalurkan kepada pihak berkuasa Nepal seperti Kementerian Kesihatan negara itu.

“Bantuan yang kami beri ini bertujuan untuk menolong kesinambungan hidup mereka sebaik mungkin agar mereka boleh hidup kembali normal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top