Hadiah SPM paling berharga, pakej umrah buat Muhammad Izz

Hadiah SPM paling berharga, pakej umrah buat Muhammad Izz

am@hmetro.com.my

Bachok: Hasrat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 12A+, Muhammad Izz Darwisy Zamani, 18, menunaikan umrah tercapai apabila dia menerima hadiah tawaran mengerjakan ibadah suci itu secara percuma.

Muhammad Izz menerima tawaran umrah daripada Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd pada majlis disaksikan ibu bapa, Mas Atikah Mansor, 48 dan Zamani Rafii, 51 serta lebih 300 warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Bachok (SMKATB) di sini, tadi.

Muhammad Izz berkata, dia memang menyimpan impian mahu menunaikan umrah sebelum ini.

“Namun saya tidak sangka dan teruja apabila menerima panggilan telefon daripada pihak sekolah memaklumkan saya menerima tajaan umrah percuma.

“InsyaAllah, jika ada rezeki, saya mahu pergi umrah bersama ibu bapa,” katanya selepas penyampaian insentif umrah di SMKATB, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengetua SMKTAB, Mohd Fadli Jusoh dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Azaha Berahim.

Muhammad Izz mendapat pakej umrah bagi perjalanan pergi balik bernilai RM7,490 bagi umrah 2026.

Wakil Andalusia, Ustaz Mohamad Aiman Zahari berkata, tawaran itu tidak diletakkan tarikh tertentu bagi memudahkan pelajar terbabit memilih tarikh yang bersesuaian dengan jadualnya.

“Tawaran itu layak diberikan kepada pelajar ini memandangkan akhlaknya yang baik, hafaz 30 juzuk al-Quran sejak tingkatan tiga dan cemerlang SPM.

“Kami harapkan hadiah ini dapat membakar semangat pelajar ini dan menjadi inspirasi kepada pelajar lain,”katanya.

Muhammad Izz yang juga lepasan SPM tunggal mendapat 12A+ di Kelantan tahun ini, turut memecah rekod sekolah berkenaan dengan menjadi pelajar pertama mendapat semua A tambah dalam mata pelajaran SPM sejak sekolah agama itu ditubuhkan pada tahun 1999.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top