luqman.arif@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pergerakan pelajar yang baru pulang ke kampus selepas menyambut Aidilfitri di kampung perlu dihadkan bagi membendung kemungkinan COVID-19 merebak.
Pakar virologi khuatir pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang dibenarkan balik kampung akan membawa balik virus COVID-19 ke asrama.
Ia kemudian boleh menyebabkan beberapa kawasan di sekitar kampus yang sebelum ini hijau, bertukar menjadi zon merah.
Pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata kebanyakan penuntut IPT dianggap bebas jangkitan COVID-19 kerana ‘terperap’ di dalam kampus sepanjang tempoh pengajian.
Selain itu, katanya, sebarang penularan jangkitan atau kewujudan kluster di kampus sepatutnya berupaya dikesan ketika ini kerana mereka berada di universiti masing-masing untuk tempoh melebihi dua minggu.
“Memang ada kes positif, tetapi ia terpencil dan tidak membimbangkan kerana di dalam kawalan, justeru langkah membenarkan penuntut IPT pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri tidak menjadi isu besar.
“Kebimbangan utama sekarang ialah apabila mereka habis beraya dan ingin pulang ke kampus, berkemungkinan membawa virus dari kampung sehingga mencetuskan penularan pada komuniti setempat.
“Risiko ini sangat tinggi dalam kalangan penuntut IPT yang ingin pulang ke zon atau negeri dikategorikan kawasan merah seperti Selangor dan Kelantan.
“Maka, seeloknya universiti perlu mengambil langkah pencegahan dengan mengehadkan pergerakan mahasiswa apabila mereka pulang ke kampus kelak,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam mengumumkan lebih 100,000 penuntut IPT yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Aidilfitri, kecuali bagi Sarawak.
Tarikh yang ditetapkan bagi perjalanan pulang ke rumah ialah pada 7 hingga 12 Mei ini, manakala pergerakan penuntut kembali ke kampus pada 15 hingga 20 Mei depan.
Sazaly berkata jangkitan dalam kalangan orang muda setakat ini tidak menyaksikan sebarang gejala seperti demam, selesema atau sesak nafas, sekali gus menyukarkan usaha untuk mengenal pasti individu yang positif tanpa mewajibkan saringan.
“Ini masalahnya kerana kita tidak akan sedar berlaku penularan jangkitan, sehingga kluster baharu terbentuk, sama ada di kampus atau lebih parah lagi, di komuniti terdekat,” katanya.
Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, pula berkata keputusan membenarkan penuntut IPT pulang berhari raya ialah berdasarkan pertimbangan kepada cuti panjang tempoh perayaan yang mungkin menyukarkan pelajar mendapatkan keperluan, terutama bekalan makanan di asrama.
Beliau berkata, kafeteria di kampus masing-masing biasanya ditutup beberapa hari, justeru penuntut yang tidak mempunyai kenderaan mungkin berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan makanan.
“Selain itu, berdasarkan penilaian risiko sedia ada, dapatan mungkin menunjukkan risiko mereka rendah berikutan tinggal di asrama.
“Untuk mengurangkan risiko penularan, sebaik-baiknya dilakukan ujian saringan, namun kita semua faham terdapat kekangan dalam melaksanakannya berikutan faktor kos dan juga penyusunan logistik.
“Sehubungan itu, apa yang terbaik boleh dilakukan oleh penuntut IPT ialah membuat sendiri penilaian risiko diri masing-masing, terutama terhadap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang dua minggu, sebelum tarikh pulang ke kampung.
“Sekiranya individu berkenaan patuh sepenuhnya SOP dan tidak mempunyai sebarang gejala, mereka selamat untuk pulang ke kampung halaman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




