Hafiz Suip Sahkan Sudah Bercerai 29 Mei Lalu – “Anak-Anak Di Bawah Jagaan Ibu Mereka”

Hafiz Suip Sahkan Sudah Bercerai 29 Mei Lalu – “Anak-Anak Di Bawah Jagaan Ibu Mereka”

Penyanyi Hafiz Suip mengesahkan dia telah sah bercerai talak satu dengan Nureffy Jasreel Abdullah di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 29 Mei lalu.

Menurut Hafiz, 35, dia mengambil keputusan untuk menyerahkan hak penjagaan anak-anak kepada bekas isteri kerana percaya ibu merupakan tempat terbaik buat mereka.

“Saya sudah menceraikan bekas isteri secara rasmi dengan talak satu pada 29 Mei lalu. Buat masa ini, anak-anak di bawah jagaan ibu mereka.

“Secara rasionalnya, sudah tentu kalau saya berada dalam situasi ini, saya akan pilih ibu saya.

“Ibu merupakan pilihan tepat untuk mengambil penjagaan anak-anak. Kalau kita nak lawan mengenai hak penjagaan, sampai bila pun tak habis,” kata pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu sebanyak empat kali ini.

Hafiz ditemui XTRA pada majlis ramah mesra bersempena konsert solonya yang berlangsung di Bienz, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, malam tadi.

Walaupun mereka sudah berpisah, hubungan pelantun lagu Bahagiamu Deritaku dengan bekas isterinya masih baik, khususnya dalam soal perbincangan mengenai anak-anak memandangkan dia kini menetap di Kuching, Sarawak.

“Saya tipu kalau kata saya tak ingat anak, setiap hari saya fikirkan mereka, saya nak hubungi anak-anak tetapi mereka juga perlu bersekolah dan ada jadual sendiri.

“Buat masa ini, saya dan bekas isteri masih dalam proses perbincangan tentang urusan anak-anak. Contohnya macam mana saya nak berjumpa dengan mereka sama ada sebulan sekali saya akan ke Kuala Lumpur.

“Saya tak mahu menimbulkan masalah. Cukuplah turun naik mahkamah untuk urusan perceraian. Penat,” ujarnya.

Menerima segala yang berlaku dengan hati terbuka, Hafiz menganggap ia sebagai satu pengalaman hidup yang penuh pengajaran.

“Sejujurnya, saya tak sesal dengan apa yang berlaku. Semua ini adalah pengajaran dan pengalaman. Ia juga satu takdir, kita hanya perlu jalani kehidupan seterusnya.

“Tak usah saling menyalahkan kerana hati kita tidak akan rasa tenang. Dalam Islam juga ada mengajar kalau nak rasa tenang kita kena berdamai dengan takdir. Nasihat saya kalau nak kahwin, kena fikir masak-masak dan bersikap matang,” katanya.

Untuk rekod, Hafiz dan Nureffy telah mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.

Scroll to Top