Mbeumo tak sabar bergandingan dengan Fernandes

Mbeumo tak sabar bergandingan dengan Fernandes

London: Bryan Mbeumo menyatakan dia teruja untuk bergandingan dengan kapten Manchester United, Bruno Fernandes, ketika bersiap sedia memulakan kehidupan di Old Trafford selepas berpindah dari Brentford.

Selepas rundingan berlarutan beberapa minggu, pemain berusia 25 tahun itu akhirnya menyertai United minggu lalu dengan bayaran £65 juta (RM367 juta), ditambah potensi tambahan £6 juta (RM33.9 juta) melalui klausa prestasi.

Pemain sayap Cameroon itu, yang menjaringkan 20 gol dan mencipta tujuh bantuan jaringan untuk Brentford dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, menandatangani kontrak lima tahun bersama United, menjadikannya pembelian ketiga kelab itu pada jendela perpindahan musim panas ini.

Mbeumo dalam podcast Rio Ferdinand Presents berkata, Fernandes adalah pemain paling dinantikannya untuk bermain bersama.

“Semua orang dah nampak dalam beberapa tahun lepas, dia boleh merembat, dia boleh cipta hantaran lintang, dia boleh buat hantaran gila,” katanya. “Ya, untuk seorang penyerang, anda memang akan menikmati itu.”

Mbeumo berharap dapat memanfaatkan pengalaman pemain tengah Portugal itu, yang bulan lalu mengesahkan menolak tawaran besar dari Arab Saudi untuk kekal bersama United meskipun kelab itu bergelut musim lalu.

“Atas padang, bila awak bijak macam dia, saya rasa awak tak perlu fikir banyak pun,” katanya. “Awak cuma perlu buat larian dan dia akan hantarkan bola ke ruang yang tepat setiap kali.”

“Tapi sudah tentu, awak boleh juga berbincang sikit untuk dia faham macam mana saya suka bola dihantar dan bagaimana saya rasa paling selesa untuk terima bola.

“Tapi pada satu tahap, cuma ada satu cara walaupun bukan cara yang awak suka, awak kena juga buat larian dan dia akan letakkan bola di posisi yang baik.”

Ketibaan Mbeumo menyusuli pembelian penyerang Wolves, Matheus Cunha, dan bek kiri Paraguay, Diego Leon dari Cerro Porteño.

United juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan Ollie Watkins serta penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko dan Mbeumo menyifatkan bekas rakan sepasukannya di Brentford itu sebagai “penyerang yang lengkap”.

Mengenai Watkins, Mbeumo berkata: “Dia seperti seorang penyerang yang lengkap. Dia boleh buat macam-macam perkara.”

United kini berada di Amerika Syarikat bagi jelajah musim panas, sebagai persiapan untuk perlawanan pembukaan EPL menentang Arsenal pada 17 Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top