syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Hafiz Suip mengembalikan nostalgia lagu Awan Nano apabila membawa semula penyanyi veteran, Herman Tino ketika beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-39, sebentar tadi.
Bukan saja menampilkan penyanyi dangdut itu, Hafiz yang mempersembahkan lagu Terus Bersinar tampil ringkas mengenakan kemeja-T, seluar dan selipar sama seperti penampilannya di AJL26, 14 tahun lalu.
Kemunculan Herman mendapat sorakan histeria daripada penonton yang membanjiri acara yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.
Di awal persembahan, Hafiz juga memberi kelainan apabila memulakan persembahannya dengan menyanyi sambil berbaring di dalam set rumah kampung yang dibina di tengah pentas.
Pada AJL26, Awan Nano ciptaan Datuk M Nasir dan lirik oleh Buddhi Hekayat dinobatkan sebagai Juara Lagu dan Hafiz turut menjulang trofi Vokal Terbaik.
Terus Bersinar hasil ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito dan Datuk Arisz Ab Rahman manakala lirik oleh Mas Dewangga dan Jova Devito adalah single terbaharu Hafiz selepas beberapa tahun hilang dari radar industri.
Hafiz juga menjadi satu-satunya penyanyi lelaki yang menerima trofi Vokal Terbaik AJL sebanyak empat kali iaitu menerusi lagu Noktah Cinta pada 2010, Awan Nano (2011), Ku Akui (2012) dan Kisah Cinta Kita (2019).
© New Straits Times Press (M) Bhd




