Hafizh manfaat tempoh ujian persendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Sepanyol: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah memanfaatkan dengan baik ujian persendirian bersama pasukan baharu, NTS RW Racing GP di Litar Jerez dalam usahanya mengenali lebih dekat jentera yang bakal digunakan untuk saingan musim depan.

Ujian dua hari yang tamat semalam itu dianggap satu pendekatan buatnya untuk menyesuaikan diri dengan pasukan dan karakter NTS yang berlainan berbanding casis yang pernah digunakannya sebelum ini.

“Saya fikir ia hari (ujian) yang agak baik. Bukan mudah untuk bertukar pasukan dan casis”, kata Hafizh yang mempunyai pengalaman menggunakan casis seperti Speed Up dan Kalex.

“Banyak yang perlu saya sesuaikan diri. NTS masih baharu untuk saya, pasukan juga baharu meskipun saya sudah mengenali ramai antara mereka sebelum ini. Saya berasa seperti di ‘rumah sendiri’ ketika mula bersama pasukan dan sudah tentu cara kerja juga sesuatu yang baharu buat saya”, katanya lagi.

“Hari ini (semalam), tumpuan utama kami adalah menyesuaikan diri dengan motosikal terutamanya dengan menggunakan tayar terpakai, bagi kami boleh melakukan satu langkah yang besar nanti”, tambahnya.

“Kini kami akan memasuki tempoh rehat musim sejuk dan ini akan memberi saya ruang untuk kembali cergas dan berlatih mempertingkatkan keadaan fizikal saya supaya kami boleh memasuki musim baharu dengan keadaan bersedia”, tambahnya lagi.

Hafizh, 26 akan bergandingan bersama pelumba muda berusia 16 tahun dari Belgium iaitu Barry Baltus pada musim depan.

Sebagai pengetahuan, RW Racing GP adalah pasukan yang diasaskan oleh usahawan Roelof Waninge dari Belanda dan bekerjasama secara teknikal dengan pengeluar casis Jepun, NTS sejak 2018.

Sumber: BH

Akmal Hakim
Sports Desk