
Skuad TFC II meraikan kejuaraan setelah berjaya menewaskan JDT II dalam aksi final Piala MFL di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.
FOTO: BERNAMA
HAIRUDDIN Omar menyifatkan perasaannya bercampur baur setelah buat kali pertama skuad kendaliannya, Terengganu FC (TFC) II muncul juara sulung Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada malam Sabtu.
Kejayaan tersebut diraih setelah skuad Penyu menang tipis ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) II 1-0 dalam aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras hasil jaringan tunggal Isa Raman pada minit ke-89.
“Ini kali pertama saya menjadi ketua jurulatih dan pasukan berjaya mendapatkan piala. Pada awal perlawanan berasa sedikit gugup kerana ini pengalaman baharu untuk saya,” katanya.
Dalam aksi itu, TFC II turun dengan seorang pemain import, Jordan Mintah untuk membantu serangan, manakala JDT II menambah kekuatan mereka dengan menyenaraikan Shane Lowry dan Oscar Arribas selain kehadiran Endrick dos Santos di jentera tengah.
