Haiqal enggan ‘tekan diri’

Haiqal enggan ‘tekan diri’

PELARI pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi enggan memberi tekanan kepada diri untuk memburu pingat emas acara 100 meter (m) pada Sukan SEA Kemboja 2023 yang berbaki 51 hari lagi.

Atlet dari Melaka itu bertekad memberikan yang terbaik dan menikmati larian dengan gaya tersendiri tanpa sebarang gangguan.

Beliau berkata, semua atlet mengimpikan podium, namun dia lebih selesa meletakkan sesuatu sasaran berdasarkan kemampuan diri.

“Saya enggan terlalu yakin dan meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Tak mahu beri tekanan kepada diri sendiri. Hanya saya yang tahu tahap mana yang kita mampu. Apa yang penting buat yang terbaik dan enjoy dengan larian.

“Insya-ALLAH kalau ada rezeki (emas). Rezeki tidak pernah salah alamat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Haiqal meraih slot secara merit ke Kemboja 2023 setelah meraih pingat emas dalam acara 100 meter (m) Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia di Bukit Jalil, Kuala Lumpur bulan lalu.

Dia membuat catatan 10.46s mengatasi had kelayakan 10.56s yang ditetapkan untuk ke temasya dwitahunan di Phnom Penh pada Mei depan.

Mengulas tips dan ‘pantang-larang’ yang perlu dijaga menjelang temasya dwitahunan itu, Haiqal memberitahu, rutin harian latihan perlu diikuti dengan penuh disiplin, selain memastikan keadaan fizikal dan mental berada dalam keadaan terbaik.

“Jaga diet, ikuti proses latihan dan jaga pemakanan. Moga dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini termasuk kecederaan. Apa yang penting ialah hari pertandingan bersedia sepenuhnya fizikal dan mental,” katanya.

Justeru atlet berusia 24 tahun itu turut menagih sokongan serta doa rakyat Malaysia agar dia dan rakan atlet lain meraih kejayaan di Kemboja pada Mei nanti.

Haiqal pernah mencipta sensasi apabila meraih emas pada Sukan SEA di Manila pada 2019 menerusi catatan 10.35s, tetapi gagal layak ke Hanoi tahun lalu.