Hairul Mahafir dapat pengiktirafan PTI milik Raja Charles III

Hairul Mahafir dapat pengiktirafan PTI milik Raja Charles III

KUALA LUMPUR – Prince’s Trust International (PTI) iaitu organisasi global yang diasaskan oleh Raja Charles III menobatkan Hairul Mafahir Abdullah, 26, sebagai penerima Prince’s Trust Sustainability Award for Asia 2022.

Penyelaras Biodiversiti dan Pemulihan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) Banun, Perak itu mencipta sejarah apabila menerima anugerah yang pertama kali diperkenalkan itu.

Ia bagi mengiktiraf pembabitan dan  golongan belia yang cemerlang dalam program PTI di seluruh dunia.

Anak kedua daripada enam beradik itu meluahkan rasa syukur mendapat pengiktirafan anugerah daripada pertubuhan yang diasaskan sejak tahun 2015 bagi menyokong golongan belia seluruh dunia menangani krisis global pengangguran.

Dia yang sebelum ini bertugas sebagai juruteknik kejuruteraan selama dua tahun tidak menyangka Covid-19 menyebabkan kehilangan pekerjaan pada tahun 2020.

Katanya, dia kemudian menyertai Program TEAM anjuran Selangor Youth Community (SAY) yang dilaksanakan bagi menyokong belia Malaysia menerusi modul perkembangan peribadi dan profesional selepas berpendapatan perlu berubah mencari pekerjaan yang mempunyai matlamat.

Hairul Mafahir Abdullah

“Saya menyertai Program TEAM selama sembilan minggu dan mempelajari pelbagai perkara termasuk kepemimpinan, kewangan, persediaan pekerjaan dan pelbagai lagi.

“Saya kemudian ditempatkan di TRCRC Shah Alam selama dua minggu sebagai latihan pekerjaan dan terus ditawarkan pekerjaan sebagai penolong penyelidik selepas tamat Program TEAM,” katanya dalam kenyataan.

Majlis penganugerahan Prince’s Trust Sustainability Award for Asia berlangsung baru-baru ini di mana anugerah itu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Hairul menambah, dia menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya walaupun selepas diuji dengan kehilangan pekerjaan selama beberapa bulan.

Dia yang memiliki Diploma Teknologi Mekatronik mempelajari perkara baharu membabitkan perhutanan di TRCRC
dan pekerjaan lamanya juga turut membantu dalam bidang baharu itu dari segi teknikal.

“Kini sebagai Penyelaras Biodiversiti dan Pemulihan TRCRC sejak lebih setahun lalu, saya banyak meluangkan masa bekerja di hutan, menjaga anak pokok asli dan memantau hidupan liar,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Program Team, Aiman Nazri berkata, prestasi baik yang ditunjukkan secara berterusan membolehkan Hairul menerima anugerah itu.

Katanya, pihaknya memilih tiga peserta yang layak sebagai pencalonan untuk anugerah itu, begitu juga negara lain seperti India dan Pakistan yang turut menghantar pencalonan mereka. – MalaysiaGazette