mahaizura@mediaprima.com.my
Perpisahan suami isteri lazimnya membabitkan pembahagian harta, hak penjagaan anak dan tanggungjawab kewangan.
Namun, di beberapa negara, satu dimensi baharu mula diberi perhatian iaitu nasib haiwan peliharaan yang turut terkesan apabila sesebuah perkahwinan berakhir.
Di Amerika Syarikat, Pennsylvania kini mempertimbangkan satu rang undang-undang yang mencadangkan haiwan peliharaan diiktiraf sebagai ahli keluarga, bukan sekadar harta dalam kes perceraian.
Akhbar New York Post melaporkan, rang undang-undang ‘House Bill 97’ itu membolehkan mahkamah mengambil kira kebajikan haiwan ketika membuat keputusan termasuk isu hak penjagaan, jadual lawatan serta pembahagian tanggungjawab dan kos penjagaan selepas perceraian.
Untuk rekod, House Bill 97 diluluskan Dewan Perwakilan Pennsylvania pada 30 September lalu, dan kini berada di peringkat pertimbangan Senat negeri itu.
Berdasarkan dokumen undang-undang diterbitkan Sistem Maklumat Perundangan Negeri Pennsylvania (Palegis), rang undang-undang berkenaan masih belum berkuat kuasa sepenuhnya kerana memerlukan kelulusan Senat sebelum ditandatangani Gabenor.
Menurut analisis ‘Pawprint Oxygen’, jika diluluskan sepenuhnya, undang-undang itu dijangka berkuat kuasa kira-kira 60 hari selepas ditandatangani selaras dengan amalan perundangan negeri itu.
Di bawah kerangka baharu itu, hakim tidak lagi terikat untuk melihat haiwan sebagai harta yang boleh ‘diberikan’ kepada satu pihak, sebaliknya diberi garis panduan untuk menilai kepentingan terbaik haiwan.
Antara faktor boleh dipertimbangkan termasuk siapa penjaga haiwan itu secara konsisten, siapa menanggung kos makanan dan rawatan veterinar, hubungan emosi antara haiwan dan pemilik serta persekitaran rumah lebih stabil dan sesuai.
Walaupun haiwan tidak disamakan dengan anak manusia daripada sudut undang-undang, perubahan ini memberi pengiktirafan haiwan makhluk hidup yang bergantung sepenuhnya kepada manusia untuk kesejahteraan.
Bagaimanapun, bukan hanya Pennsylvania, malah negeri lain di AS seperti California dan Alaska terlebih dahulu melaksanakan pendekatan sama dalam kes perceraian.
Bahkan beberapa negara sudah lebih awal menggubal undang-undang mereka bagi memastikan kebajikan haiwan dipertimbangkan dalam pertikaian keluarga.
Di Sepanyol, pindaan undang-undang sivil yang berkuat kuasa sejak 2022 mengiktiraf haiwan sebagai ‘sentient beings’ (makhluk berperasaan).
Mahkamah diwajibkan mempertimbangkan kebajikan haiwan dalam kes perceraian termasuk kemungkinan hak penjagaan bersama dan pembahagian masa.
Pendekatan hampir sama turut dilaksanakan di Perancis dan Portugal apabila undang-undang negara itu mengiktiraf haiwan sebagai makhluk hidup yang perlu dilindungi kebajikannya bukan semata-mata objek pemilikan.
Di Kanada, wilayah British Columbia pula mengemas kini undang-undang keluarga pada 2024 bagi membolehkan mahkamah menilai hubungan emosi antara pemilik dan haiwan, sejarah penjagaan serta kestabilan persekitaran sebelum membuat keputusan hak penjagaan.
Di beberapa negara Amerika Latin seperti Argentina dan Colombia, walaupun tiada undang-undang khusus, keputusan mahkamah melalui ‘case law’ sudah mula mengiktiraf hak lawatan dan kebajikan haiwan dalam kes tertentu.
Sebaliknya, di beberapa negara lain termasuk United Kingdom dan Singapura, haiwan peliharaan masih diklasifikasikan sebagai harta dalam undang-undang keluarga, walaupun terdapat budi bicara terhad hakim dalam situasi tertentu.
Pakar undang-undang keluarga melihat perubahan ini sebagai usaha menyesuaikan sistem perundangan dengan realiti sosial semasa khususnya bagi pasangan tanpa anak yang menganggap haiwan peliharaan sebagai sebahagian daripada keluarga.
Namun, terdapat juga kebimbangan pendekatan ini boleh memanjangkan pertikaian dan meningkatkan kos guaman apabila haiwan dijadikan sebahagian daripada konflik emosi perceraian.
Ada juga golongan berpendapat haiwan selama ini menjadi pihak paling terkesan tetapi paling tidak mempunyai suara dalam sistem perundangan walaupun bergantung sepenuhnya kepada manusia untuk kelangsungan hidup.
Walaupun berbeza sistem dan budaya, perubahan undang-undang di beberapa negara ini mencerminkan satu kesedaran global apabila hubungan manusia berakhir, kebajikan haiwan tetap perlu dipelihara dan dilindungi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




