WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan di Florida semalam bertindak membatalkan saman fitnah bernilai AS$10 bilion (RM44 bilion) yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terhadap akhbar The Wall Street Journal.
Hakim Daerah AS, Darrin Gayles memutuskan bahawa saman terpinda yang dikemukakan oleh Trump mengalami kelemahan undang-undang yang sama seperti percubaan pertamanya berikutan kegagalan membuktikan unsur ‘niat jahat sebenar’.
”Memandangkan Presiden gagal mengemukakan dakwaan munasabah bahawa setiap defendan membuat kenyataan berunsur fitnah dengan niat jahat sebenar, maka aduan terpinda ini mesti dibatalkan,” kata Gayles dalam penghakimannya.
Memuatkan artikel berkaitan…
Hakim berkenaan turut menegaskan bahawa pembatalan saman itu dilakukan dengan prejudis, sekali gus menghalang pihak Trump daripada mendaftarkan semula kes berkenaan di mahkamah pada masa hadapan.
Saman berkenaan pertama kali dikemukakan oleh Trump pada Julai lalu selepas akhbar itu menerbitkan laporan berhubung sebuah buku hari lahir yang dikumpul oleh Ghislaine Maxwell untuk ulang tahun ke-50 pesalah seks, Jeffrey Epstein pada tahun 2003.
Buku berkenaan mengandungi sekeping kad yang memaparkan lakaran wanita tanpa pakaian beserta tanda tangan nama pertama Trump pada bahagian sensitif lakaran itu, selain nota bertaip yang mengandungi perbualan rekaan bersama Epstein.
Trump menafikan penglibatan beliau dalam penghasilan kad berkenaan dan mendakwa akhbar itu mereka-reka cerita serta menegaskan bahawa dokumen sedemikian tidak pernah wujud.
Bagaimanapun, pihak pengurusan harta milik Epstein kemudian mengeluarkan salinan kad yang sepadan dengan perincian laporan akhbar terbabit, sebelum ia turut dikeluarkan secara rasmi oleh Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan AS.
Pihak Trump dan Rumah Putih kekal dengan pendirian bahawa dokumen berkenaan adalah palsu dan mendakwa laporan akhbar itu telah merosakkan reputasi serta memberi impak kewangan yang serius kepada beliau.
Trump turut mengkritik akhbar berkenaan kerana tidak menemubual Maxwell yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun atas pertuduhan pemerdagangan seks, walaupun wartawan terbabit telah menghantar surat permohonan temu bual dan memasukkan kenyataan peguamnya. – AGENSI




