Hakim Danish layak ke Q2 di Le Mans

Hakim Danish layak ke Q2 di Le Mans

PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengesahkan slot ke pusingan kelayakan 2 (Q2) selepas mencatat masa keempat terpantas pada sesi latihan rasmi Grand Prix (GP) Motosikal Perancis di Le Mans, Perancis, hari ini.

Anak muda yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu melakar masa sepusingan 1 minit 40.443 saat (s).

Pelumba Sepanyol, David Munoz yang bernaung di bawah pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP mencipta masa terpantas 1:40.211s.

Rakan sepasukannya, David Almansa berada di tempat kedua (1:40.225s), manakala, pelumba CFMoto Aspar Team, Marco Morelli dari Argentina di kedudukan ketiga (1:40.296s).

Hakim Danish melahirkan rasa syukurnya selepas berjaya menempah tempat ke Q2 dan keputusan yang dicatat, hari ini, telah memberi keyakinan yang cukup positif buat dirinya serta pasukan.

Mengulas lanjut mengenai sesi latihan pada Jumaat, pelumba berusia 18 tahun itu berkata, dia mula membina keyakinan sejak sesi latihan bebas pertama (FP1) lagi selepas berada di tempat ketujuh (1:41.723s).

“Pada sesi FP1 tadi, saya sudah mula dapat keyakinan yang baik bersama jentera dan juga dengan karakter litar di Le Mans.

“Namun, masih ada beberapa selekoh yang saya rasa saya kehilangan sedikit kelajuan, jadi saya cuba mencari penyelesaian untuk memperbaiki aspek itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hakim Danish, dia cuba belajar dengan mengekori pelumba-pelumba lebih pantas dan dari situ usaha tersebut ternyata berhasil bagi mendapatkan catatan masa yang lebih kompetitif.

“Tetapi saya sedar masih ada perkara yang perlu dipertingkatkan terutama dari segi tunggangan ketika bersendirian di atas litar.

“Dalam sesi latihan rasmi pula, saya cuba membina kelajuan saya sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pelumba lain.

“Saya rasa masa sepusingan yang saya catat agak positif dan ketika sesi ‘time attack’, saya sekali lagi cuba menggunakan peluang mengikuti pelumba pantas untuk memperkemaskan lakaran masa saya,” ujarnya.

Anak jati Terengganu itu menjelaskan, dia kini selesa dengan jenteranya dan pasukan juga melakukan beberapa pelarasan yang banyak membantu terutama ketika memasuki selekoh serta brek.

“Saya rasa komunikasi antara saya dan pasukan juga semakin baik. Untuk sesi esok, saya akan cuba memberikan 100 peratus,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top