Kuala Lumpur: Sebanyak 15,296 akaun palsu menggunakan nama 26 kerabat diraja dikenal pasti sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini berdasarkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta aduan awam.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, akaun palsu itu turut melibatkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Fahmi berkata, perkara itu dipersembahkan kepada Sultan Selangor semasa beliau menghadap baginda bagi menyembah maklum laporan terkini berkaitan penurunan akaun palsu yang melibatkan kerabat diraja, hari ini.
“Susulan itu, tindakan permohonan penurunan telah dilaksanakan dan sehingga kini, penyedia platform media sosial telah menurunkan sebanyak 14,750 akaun berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, baginda turut disembah maklum mengenai pelaksanaan sistem pengesahan identiti secara elektronik (e-KYC) sebagai langkah memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan keluarga dalam persekitaran digital.
“Patik menjunjung kasih atas pandangan, titah serta nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku berhubung pelbagai isu semasa, khususnya berkaitan penyalahgunaan platform dalam talian dan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang mutakhir ini semakin membimbangkan,” katanya.
Fahmi berkata, beliau turut mengambil maklum kebimbangan Sultan Selangor terhadap pelbagai isu semasa yang berlegar di media sosial dan kaedah yang digunakan pihak berwajib untuk menanganinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




