harisfadli@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Dua warga asing dikejar hampir lapan kilometer (km) oleh pasukan kereta peronda polis (MPV), sebelum aksi itu berakhir dengan kenderaan suspek terbabas di Jalan Johar, Kuala Lumpur, hari ini.
Difahamkan, anggota bertugas mengesan sebuah kereta Honda City dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Persekutuan, lalu menghidupkan lampu mata arah dan mengarahkan kenderaan terbabit untuk berhenti pada awal pagi tadi.
Bagaimanapun, suspek bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri ke arah Kuala Lumpur, malah memandu secara berbahaya sebelum terbabas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsuddin Mamat berkata, suspek memandu ke arah Lebuhraya SPRINT dan terbabas lalu melanggar papan tanda pusingan U di Jalan Johar.
“Suspek pertama iaitu pemandu kereta merupakan lelaki warga asing dan suspek kedua adalah wanita warga asing yang kedua-duanya berusia 20-an.
“Terdapat seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri. Suspek yang ditahan dibenarkan reman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dengan gopoh di jalan awam.
Pada masa sama beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat spekulasi berhubung insiden itu di media sosial.
Saksi yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




