khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan sebanyak 189 tindakan sitaan sudah dilakukan terhadap premis perniagaan yang menyebabkan halangan barangan di tempat awam sejak Januari lalu sehingga kini.
Antara kesalahan yang dilakukan ialah seperti meletakkan kerusi, meja, payung dan lain-lain di laluan siar kaki serta petak parkir awam.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata, selain itu, sebanyak 2,641 notis kesalahan dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan yang sama melalui Jabatan Penguatkuasaan.
“Jabatan Penguatkuasaan DBKL juga mengadakan tindakan khas KEJA (Kerusi Meja) yang memfokuskan kepada pemindahan halangan seperti kerusi dan meja yang diletakkan secara menghalang oleh peniaga di tempat awam.
“Sehingga kini, sebanyak 258 tindakan sita atau pindah halangan dijalankan sejak Januari di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.
DBKL berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai jumlah keseluruhan premis yang disita akibat kesalahan yang dilakukan sehingga kini.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, tindakan itu diambil disebabkan premis perniagaan itu berulang kali membuat halangan di tempat awam menyebabkan gangguan kepada orang ramai.
“Proses pemindahan hanya dilaksanakan apabila pengeluaran notis kesalahan dilihat tidak berkesan dan peniaga terus mengulangi kesalahan yang sama.
“Untuk premis yang dikendalikan oleh warga asing sepenuhnya, tindakan penutupan serta-merta akan dilaksanakan.
“Notis kesalahan turut dikeluarkan terhadap pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa permit sah,” katanya.
DBKL berkata, pihaknya juga akan mencadangkan pembatalan lesen perniagaan majikan berkenaan.
“DBKL melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk membanteras aktiviti perniagaan oleh warga asing di sekitar Kuala Lumpur.
“DBKL menyeru semua peniaga dan orang awam untuk mematuhi peraturan atau syarat lesen yang ditetapkan demi keselesaan dan kesejahteraan warga kota,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




