Halep tak dapat pertahan gelaran Wimbledon

PEMAIN tenis Romania, Simona Halep terlepas peluang untuk mempertahankan kejuaraan Wimbledon selepas mengalami dibelenggu masalah kecederaan betis.

Halep terpaksa menarik diri hanya beberapa minit sebelum majlis undian kejohanan berstatus Grand Slam itu yang dijadualkan bermula Isnin ini.

“Dengan rasa berat hati, saya mengumumkan terpaksa menarik diri daripada kejohanan (Wimbledon) kerana kecederaan betis yang dialami masih belum sembuh sepenuhnya,” katanya.

Pemain berusia 29 tahun itu bergelut untuk kembali cergas sejak menarik diri dalam aksi pusingan kedua Terbuka Itali pada pertengahan Mei lalu.

Untuk rekod, Halep merangkul kejuaraan Wimbledon selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Serena Williams pada edisi 2019.

Berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, kejohanan Wimbledon dibatalkan pada tahun lalu.

Dengan keputusan Halep itu, dia menyertai juara empat kali Grand Slam, Naomi Osaka dari Jepun yang terlebih dulu menarik diri daripada menyertai kejohanan tersebut.